Dakwaan terima dana Umno isu lama dan mengarut, kata PAS

Tuan Ibrahim berkata PAS terbuka untuk disiasat dan bersedia dipanggil jika pihak berkuasa mahu berbuat demikian.

PETALING JAYA: PAS mendakwa dakwaan parti itu menerima dana sebanyak RM2.5 juta daripada Umno merupakan isu lama yang dibangkitkan Amanah untuk memburukkan imejnya.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu dana RM2.5 juta itu dibangkitkan semula untuk memburukkan PAS dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) di Port Dickson.

“Kita tidak pernah terima dana daripada Umno. Dakwaan (PAS terima dana dari Umno) itu mengarut dan laporan yang dibuat kena ada asas untuk polis buat siasatan.

“Polis akan lihat sama ada laporan itu betul atau tidak. Bukan semua laporan perlu disiasat,” katanya kepada FMT.

Tuan Ibrahim berkata PAS juga terbuka untuk disiasat dan bersedia untuk dipanggil jika pihak berkuasa mahu berbuat demikian.

“Kita terbuka untuk disiasat. Kita tak ada masalah, boleh datang bila-bila masa.

“Bagi kita (PAS) tak ada isu dakwaan itu. Sebelum ini juga ada laporan dibuat, tetapi biasalah ia timbul balik dalam suasana PRK untuk dijadikan isu. Mereka kena faham bila tidak ada siasatan, maknanya tiada asas kukuh untuk buat dakwaan.

“Saya lihat ia (dakwaan itu) hanya berniat jahat untuk burukkan PAS, nak rosakkan imej PAS,” katanya.

“Tidak ada apa-apa yang perlu dirahsiakan kerana akaun parti dibentang setiap kali diadakan Muktamar Agung,” tambah beliau.

Semalam Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu sekiranya terdapat laporan polis mengenai dakwaan Umno memindahkan sejumlah RM2.5 juta kepada PAS, sekali gus meneliti sama ada sumber wang itu daripada dana 1MDB yang diseleweng.

Noor Rashid berkata pihaknya akan menyerahkan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya penelitian laporan mendapati terdapat unsur rasuah.

Beliau berkata demikian apabila ditanya tentang laporan media semalam bahawa Pemuda Amanah Terengganu membuat laporan polis Ahad lalu mendesak siasatan segera selepas tersebarnya salinan transaksi pemindahan wang itu.

Pihak media memetik pengarah komunikasi Pemuda Amanah Muammar Qaddafi Nasir sebagai berkata salinan transaksi itu membabitkan pemindahan wang RM1.5 juta daripada pegawai khas bendahari Umno kepada Tabung Pembangunan Jawatankuasa Jabatan Pembangunan PAS Pusat (JPP) dan RM1 juta kepada 3 penama yang juga anggota parti itu.

Muammar juga dilaporkan berkata siasatan terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti sumber dana berkenaan yang dibimbangi merupakan wang 1MDB yang diselewengkan.

April lepas, ahli Amanah Datuk Mahfuz Omar, ketika berucap di Padang Serai, Kedah, turut mendakwa terdapat 3 pemimpin PAS Terengganu menerima wang daripada Umno.

Mahfuz mendakwa wang sebanyak RM1 juta dimasukkan melalui satu akaun khas yang dinamakan Akaun Amanah pada 21 Mac 2018 lepas.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa sejumlah RM1.5 juta turut dimasukkan ke dalam akaun JPP atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.