Gejala rasuah perkhidmatan awam tidak serius, kata KSN

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Ismail Bakar menyangkal dakwaan gejala rasuah dalam kakitangan awam semakin teruk sehingga menjejaskan integriti dan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata gejala rasuah membabitkan kakitangan awam hanya melibatkan segelintir individu atau kumpulan tertentu, bukan seluruh kakitangan.

“Jumlah kes rasuah semakin berkurangan. Sejak awal tahun ini hingga kini, hanya 200 kes sahaja yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya kepada pemberita di satu program santai di banglo transit Putrajaya presint 10 hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai berkata, keadaan perkhidmatan awam dalam keadaan teruk hingga menyukarkan usaha pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mencari penjawat awam berkebolehan.

Beliau berkata tidak ramai penjawat awam yang terbabit dengan rasuah sewaktu beliau pertama kali menjadi perdana menteri.

Musuh dalam selimut

Sementara itu, Ismail tidak dapat mengulas secara spesifik dakwaan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin tentang “musuh dalam selimut” dalam kalangan penjawat awam yang menyukarkan usaha pihak berkuasa mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Sudah tentu pasukan risikan ada maklumat tertentu. Jika tidak wujud tak mungkin Tun Daim akan sebutkan perkara itu.

“Namun, apa-apapun, biarlah jabatan tertentu buat siasatan dan tindakan sewajarnya,” katanya.

Bebas bersyarat

Ismail turut mengulas tentang kebebasan bersuara bagi kakitangan awam, mengatakan pihak tidak melakukan pantauan teliti ke atas aktiviti mereka di media sosial.

Ini selaras dengan janji pentadbiran baharu yang mendokong kebebasan bersuara. Beliau bagaimanapun mengingatkan kebebasan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan perkhidmatan awam.

“Mereka boleh katakan apa-apa sahaja asalkan tidak menyentuh isu sensitif, agama atau sebagainya. Janganlah sampai hingga memburukkan orang, atau menghasut, dan jangan burukkan jabatan perkhidmatan sendiri kerana ia sudah dilarang,” katanya.

Pada masa yang sama, Ismail berkata kebebasan berpolitik bagi kakitangan awam juga tertaktluk kepada undang-undang dan peraturan tertentu.

“Kalau libatkan pegawai gred B ke bawah, kena ada kelulusan dari ketua setiausaha, ketua jabatan atau yang relevan untuk mereka memegang jawatan tertentu dalam parti politik.

“Tetapi untuk kakitangan awam gred A, mereka tidak dibenarkan memegang mana-mana jawatan kecuali hanya menjadi ahli biasa. Guru dibenarkan tetapi bersyarat.

“Peraturan ini sudah lama dan ia masih dalam proses penambahbaikkan,” katanya.