KPN: Kes bunuh pensyarah Palestin tiada perkembangan terbaru

PETALING JAYA: Polis hari ini berkata tiada perkembangan terbaru dalam kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin di ibu negara April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata sehingga ke hari ini tiada maklum balas daripada negara-negara jiran yang dapat membantu siasatan.

“Kita sudah berhubung dengan rakan-rakan Asean melalui Interpol. Kita tak ada dapat petunjuk atau perkembangan baru,” kata Fuzi kepada pemberita di Pusat Latihan Polis hari ini.

“Juga tak ada yang tampil ke depan untuk kita mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pada 21 April lalu, Fadi Mohammad al-Batsh, seorang warga Palestin dan pensyarah bidang kejuruteraan elektrik di sebuah universiti swasta ditembak 2 lelaki bermotosikal dari jarak dekat ketika sedang menuju ke masjid untuk solat Subuh.

Ahli keluarganya menuduh agensi perisikan Israel, Mossad, bertanggungjawab atas pembunuhan itu yang dinafikan rejim Israel.

Fadi menetap di Malaysia sejak 2011 dan mempunyai seorang isteri dan 3 orang anak.