Mahasiswa kecewa Maszlee tidak serius tangani lantikan politik di universiti awam

Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Gabungan Pembebasan Akademik (GPA) membantah lantikan seorang ahli politik di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) semalam yang dianggap melanggar prinsip autonomi universiti awam.

Presidennya Asheeq Ali berkata beliau kecewa dengan sikap Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek yang seolah-olah tidak berminat untuk “melayan” suara mahasiswa sebelum ini yang turut membantah pelantikan beliau sebagai presiden UIA ke-8 dan lantikan mana-mana ahli politik dalam universiti awam.

“Sejuta kali Dr Maszlee Malek mencanang tentang kebebasan akademik dan autonomi yang mahu diberikan, seratus juta kali mahasiswa akan melihat kepada tindakan yang dilakukan oleh beliau dan kementerian.

“Benarlah kata-kata bahawa menyarung baju kekuasaan akan mengubah prinsip seseorang. Hari ini mahasiswa menyaksikan sendiri ketidakjujuran dalam usaha perubahan pendidikan pada era Malaysia baru ini.

“Lihat dan nilailah kembali lantikan di UIAM, UUM dan terbaru, UniSZA yang dibiarkan sepi oleh Kementerian Pendidikan dan tidak serius menjawab soalan mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lantikan Pengerusi PKR Perak Datuk Muhammad Nur Manuty ke lembaga pengarah UniSZA yang diumumkan semalam.

Lantikan Muhammad berkuat kuasa 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Susulan lantikan itu, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang mempunyai kaitan dengan PKR menuntut Maszlee menjelaskan pelantikan itu, yang menurutnya melanggar prinsip autonomi universiti.

Timbalan Presiden MKM, Haissazc Shuqkin Hisham berkata Kementerian Pendidikan nampaknya tidak ingin mengubah budaya lantikan politik di universiti.

Mengulas lanjut Asheeq berkata beliau hairan apabila kerajaan masih berdiam diri dan meneruskan lantikan sebegini di universiti awam.

Katanya lantikan itu secara jelas melanggar manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan tiada sebarang lantikan politik di universiti awam selepas mereka memerintah.

“Saya tahu lantikan seperti ini akan berterusan. Seperti yang telah dikatakan oleh Wan Saiful kepada saya pada malam saya berdemo di KPM, katanya “semuanya satu pelan kerajaan untuk menggantikan ‘figura’ BN di universiti dan untuk itu banyak lagi lantikan politik akan muncul”.

“Saya setuju bahawa figura BN perlu digantikan. Namun, amat salah apabila ia digantikan dengan ahli politik yang lain,” katanya lagi.

Semalam, seorang ahli akademi berkata pelantikan ahli politik di mana-mana institusi awam tidak patut jadi masalah jika individu tersebut benar-benar berkelayakan.

Prof Tajuddin Rasdi dari UCSI berkata tidak ada sebab untuk mempertikaikan pelantikan pengerusi PKR Perak itu ke lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) jika melihat kepada kelayakan dan kredibilitinya.

“Sudah tentu sebilangan orang kata ini menunjukkan kononnya universiti tidak bebas. Sebenarnya yang kita nak komen adalah sama ada orang itu berkelayakan atau tidak,” katanya kepada FMT.