Malaysia belum lagi ‘Baharu’, kata Wan Saiful

Wan Saiful mengajak NGO, para aktivis dan akademik membantu kerajaan melakukan reformasi.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi PPBM Wan Saiful Wan Jan tidak bersetuju dengan pandangan bahawa negara telah mencapai Malaysia Baharu seperti yang sering dilaung-laungkan ketika ini.

Beliau berkata, pencapaian ketika ini hanya pembentukan kerajaan baru apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama 60 tahun.

“Malaysia Baharu hanya akan wujud apabila kita berjaya membentuk sebuah masyarakat yang berpegang dengan nilai-nilai baru yang lebih baik untuk negara, dan menolak budaya negatif yang menyekat kita selama ini.

“Untuk menerapkan nilai-nilai baru, kita perlu bantuan daripada masyarakat sivil untuk membentuk minda dan budaya rakyat yang lebih progresif supaya perubahan yang kita capai menjadi kekal,” katanya di persidangan mengenai Malaysia anjuran Universiti Nasional Australia di Canberra, Australia hari ini.

Malaysia Baharu menjadi slogan PH apabila ia membentuk kerajaan selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Penasihat khas kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malek itu berkata kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dan mengambil mudah setiap pengumuman yang dibuat.

“Semuanya perlu difikirkan dengan mendalam terlebih dahulu. Jika tidak, perubahan itu hanya akan menjadi separuh masak dan tidak kekal,” katanya lagi.

Wan Saiful berkata proses reformasi yang mahu dilaksanakan mengambil masa dan disiplin yang ketat.

Oleh itu, beliau mengajak NGO, para aktivis dan akademik membantu kerajaan melakukan reformasi.

“Idealisme perlu diteruskan dan adalah menjadi kewajipan mereka untuk menegur kami dalam kerajaan.

“Bagi saya teguran yang paling berkesan ialah apabila ia diberi oleh rakan yang mahu membina. Kerana itulah ‘rakan yang kritikal’ adalah amat penting.”