Manifesto tanggungjawab, tidak boleh diketepi, kata Rais Yatim

Rais berkata, jika sebahagian besar manifesto tidak menjadi kenyataan, maka kerajaan PH akan dikritik rakyat. (Gambar Facebook)

PORT DICKSON: Manifesto merupakan satu tanggungjawab kepada pengundi dan tidak boleh sewenang-wenangnya diketepikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Dr Rais Yatim.

Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri Sembilan itu berkata manifesto merupakan asas yang membantu pengundi membuat pilihan dalam sesuatu pilihan raya.

Oleh itu katanya, jika sebahagian besar daripada manifesto itu tidak menjadi kenyataan maka kerajaan PH akan menerima kritikan rakyat.

“Sekiranya tidak boleh dilaksanakan, PH perlu wujudkan satu panel khusus untuk melihat semula manifesto…yang penting rakyat tahu yang perkara ini dikaji dengan teliti.

“Jika kita tidak buat begitu maknanya apa guna kita ada manifesto dan kita tak boleh lari daripada tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Baru-baru ini, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan berkata beliau terkilan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberitahunya akan memegang portfolio Kementerian Pendidikan, namun tidak dilakukannya kerana janji manifesto.

Rafidah yang pernah menerajui Wanita Umno turut mengingatkan bahawa tidak mustahil kerajaan PH akan kehilangan kuasa sekiranya tidak dapat membuat keputusan penting hanya kerana terikat dengan manifesto yang dijanjikan.