Najib akan lapor diri sendiri kepada polis esok

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak akan membuat laporan polis terhadap diri sendiri esok bagi memulakan siasatan ke atas 4 kes kematian berprofil tinggi.

Bekas perdana menteri berkata nampaknya dia sudah membuang masa melayan pemimpin besar DAP Lim Kit Siang kerana tiada siasatan khas dilancarkan selepas gesaaan demi gesaan dibuat dalam bulan ini.

“Untuk kali ke-5, saya mendesak Lim memenuhi apa yang dia mahu minggu lalu iaitu membuka siasatan khas untuk semua kes-kes ini tetapi saya rasa ini membuang masa sahaja untuk melayan dia.

“Esok, saya akan meminta pembantu saya untuk membuat laporan polis terhadap saya supaya polis bawah kerajaan Pakatan Harapan boleh menyiasat semula jika saya terlibat dalam semua kes-kes pembunuhan ini,” katanya di Facebook malam tadi.

Bulan ini Najib dan Lim saling balas-membalas kenyataan selepas pemimpin DAP berkata keadilan dipersendakan semasa pentadbiran Najib kerana kes-kes berprofil tinggi tidak disiasat pada 7 Oktober lalu.

Lim tertanya mengapa Najib tidak membuka semula siasatan ke atas kematian misteri itu walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Pada hari yang sama Najib menyahut kenyataan itu dan berkata PH tiada sebab untuk tidak mewujudkan siasatan khas kerana kertas siasatan dan agensi siasatan di tangan kerajaan.

Lalu dia menggesa kerajaan membuka semula kes kematian wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu; pembantu kepada wakil rakyat DAP, Teoh Beng Hock; pengasas AmBank, Hussain Najadi dan timbalan pendakwaraya Kevin Morais.