Najib: Perniagaan tak boleh berkembang jika Putrajaya perkenal CGT

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak membantah langkah kerajaan memperkenalkan cukai keuntungan modal (CGT) ke atas jual beli saham, mengatakan langkah “populis” itu akan menyebabkan pelabur tidak cenderung membeli saham di Malaysia.

Bekas perdana menteri berkata CGT bukan idea baharu dan pernah ditimbulkan Pakatan Harapan dalam belanjawan alternatif mereka sebelum ini.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan kewajaran memperkenalkan CGT sekarang.

“Walaupun kerajaan akan hilang hasil RM40 bilion setiap tahun akibat langkah-langkah populis mereka termasuk bertukar dari cukai GST kepada Cukai Jualan dan Cukai Servis (SST), mereka tidak patut perkenalkan cukai CGT ke atas saham,” kata Najib di Facebook.

Beliau berkata impak negatif CGT jauh lebih teruk, kerana kesukaran mendapatkan modal melalui terbitan saham tambahan menyebabkan perniagaan tidak boleh berkembang, lalu pekerjaan dan aktiviti ekonomi terjejas.

“Pelabur-pelabur saham yang terbesar di Malaysia juga merupakan institusi-institusi milik kita seperti KWSP, Tabung Haji, PNB dan syarikat-syarikat amahan saham swasta.

“Apabila permintaan untuk membeli saham di Malaysia jatuh maka harga saham akan jatuh dan mengakibatkan kerugian kepada institusi-institusi ini.

“Akhirnya, rakyat yang ada simpanan di dalam institusi-industi ini yang rugi juga ditambah dengan aktiviti ekonomi yang akan menjunam dan peluang pekerjaan baru yang mengurang,” katanya.

Najib mengulas laporan Kementeri Kewangan mungkin akan melaksanakan CGT. Beliau memberi amaran langkah itu akan mendorong pelabur asing dan tempatan ke pasaran lain yang tidak ada cukai itu.

Putrajaya baru-baru ini menggesa rakyat bersedia untuk berkorban menjelang Bajet 2019 yang akan dibentangkan 2 November ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cukai baharu itu mungkin diadakan bagi menampung kekurangan akibat menghapuskan GST.

Najib bagaimanapun berkata Singapura dan Hong Kong yang mempunyai pasaran saham yang jauh lebih aktif dan besar tidak memperkenalkan cukai itu, dan beliau sendiri pasti tentang impak negatifnya.

“Jual beli saham tidak seperti jual beli hartanah fizikal yang tidak boleh dipindah ke luar negara. Oleh itu, pada masa saya sebagai perdana menteri, kerajaan kita menaikkan cukai keuntungan modal ke atas jual beli hartanah (RPGT) dan tidak berbuat demikian untuk jual beli saham,” katanya.