Najib tidak faham pendirian saya dalam kes berprofil tinggi, kata Kit Siang

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata media tidak perlu tahu cara beliau bekerja.

PORT DICKSON: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tampak seperti tidak memahami apa-apa yang diperkatakan mengenai beberapa kes bunuh berprofil tinggi, kata penasihat DAP Lim Kit Siang malam tadi.

“Saya rasa sama ada beliau sangat bodoh atau tidak faham kenyataan saya atau ada orang lain yang menulis bagi pihaknya. Saya tidak tahu.

“Tetapi saya sangat terkejut beliau bercakap mengarut begitu.

“Beliau patut beritahu kenapa beliau tidak membuka semula penyiasatan ke atas kes bunuh berprofil tinggi itu semasa menjadi perdana menteri.

“Beliau mengarut…tidak tahu sama beliau akan mengaku hilang akal dalam perbicaraan yang bakal dihadapinya,” katanya kepada pemberita pada satu program di pusat operasi PKR di Lukut.

Lim memberi respons kepada hantaran di laman Facebook Najib yang menyebut adalah jelas Lim tidak lagi tahu bagaimana untuk membalas cabaran beliau supaya ditubuhkan satu pasukan penyiasat khas untuk memeriksa kes pembunuhan berprofil tinggi yang dikaitkan dengan beliau oleh para pengkritiknya sejak sedekad lalu.

Ini termasuklah kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, bekas penolong pendakwa raya Kevin Morais dan ahli perbankan Hussain Najadi.

Najib berkata oleh sebab Pakatan Harapan (PH) kini merupakan kerajaan, maka ia mempunyai kuasa untuk mengarahkan inkuiri sama ada beliau terlibat dalam pembunuhan yang dikaitkan dengan dirinya itu.

Ketika ditanya sama ada beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes berkenaan, Lim enggan mendedahkan status sebenar beliau dalam usaha membuka semula kes terbabit.

“Saya tak perlu beritahu anda bagaimana saya bekerja. Pendirian saya jelas, penyiasatan perlu dibuka semula,” katanya.

Lim berada di Lukut bagi membantu kempen calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson Sabtu ini.