Orang Islam elak bekerja di premis jual arak, kata Mujahid

Mujahid berkata beliau menolak memviralkan video yang menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat, selain melibatkan sensitiviti umat Islam.

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menasihatkan mana-mana individu Islam supaya lebih awal mengelak daripada bekerja di kedai yang mendedahkan mereka kepada risiko memegang botol arak kerana ia dilarang agama dan haram bagi umat Islam terlibat menyajikannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ia sebagai pencegahan awal supaya insiden video tular di media sosial yang menunjukkan seorang juruwang enggan memegang botol arak ketika seorang pembeli hendak membuat bayaran di sebuah kedai serbaneka di Johor Bharu tidak berulang.

“Arak diharamkan oleh Islam. Itu perkara asas, malah para ulama berkata bila sesuatu yang haram, walaupun yang memerah anggur tidak minum arak yang terhasil daripadanya, ia dianggap haram juga.

“Jadi sebagai seorang pekerja kalau dia tahu tempat yang dia bekerja itu akan melibatkan soal-soal ini, dia perlu berhati-hati lebih awal.

“Kalau dia ambil tugas itu, dia sudah tahu salah satu bidang tugas ialah kena melayan pembeli arak,” katanya semasa Dialog Menteri Rahmatan Lil A’lamin di Malaysia di Universiti Malaya, malam tadi.

“Kalau dia tak kerja di situ dia boleh mati, susah nak hidup, itu cerita lain. Jadi jika ada pilihan maka nasihat saya cari perkerjaan lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama Mujahid berkata beliau juga menolak perbuatan pihak yang memviralkan video terbabit kerana ia menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat, selain melibatkan sensitiviti umat Islam.

“Isu yang paling kita tidak suka bila perkara itu diviralkan ialah juruwang itu dimalukan dan dianggap bodoh kerana tidak mahu memegang botol arak,” katanya.

Minggu lalu tular di media sosial, rakaman video seorang juruwang enggan memegang botol arak kerana katanya beliau dalam keadaan berwuduk.

Baiki SOP penguatkuasaan khalwat

Dalam forum yang sama Mujahid berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi penguatkuasaan pencegahan perbuatan khalwat akan ditambah baik dengan mengambil kira tatacara Islam sebenar, termasuk melindungi ruang peribadi dan mengelakkan aib kepada pelaku.

Katanya, penguat kuasa perlu mematuhi prosedur tertentu yang lebih jelas bagi mengelakkan kesilapan, termasuk serbuan yang bertujuan menganiaya seseorang.

“Apa yang kami mahu lakukan ialah mengatasi kelemahan. Bukan dapat maklumat, terus serbu. Saya mahu baiki SOP penguatkuasaan, dari segi teknikalnya.

“Ada kes tertentu pasangan suami isteri turut diserbu. Ia sesuatu yang mengaibkan,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran pesta arak “Oktoberfest 2018”, Mujahid berkata Islam melarang penganutnya menyertai pesta arak sedemikian, tetapi menyerahkan isu itu kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana ia melibatkan kuasa beliau.

“Dalam konteks Oktoberfest orang Islam jangan pergilah. Itu jelas. Tak boleh pergi ke tempat macam itu. Dari segi undang-undang pula penganjur perlu mendapatkan kelulusan,” katanya.

Dr Mahathir sudah “taubat politik”

Ketika menjawab persoalan hadirin dalam majlis yang sama, sama ada beliau memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa bersikap “kuku besi” sebelum ini, Mujahid berkata kemaafan itulah antara isi pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawanya.

Katanya, Dr Mahathir sudah “bertaubat politik” apabila bersetuju menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Allah Maha Pengampun dan Maha Pemaaf walau macam mana teruk sekali sesuatu jenayah, yang kita manusia ni apa pasal pulak nak lebih-lebih?,” soal beliau.

“Kami mengambil sikap kalau beliau bersama bersetuju dengan kita nak baiki negara ini, nak lawan korupsi, itulah bentuk taubat politik beliau atas perbuatan yang pernah beliau lakukan dahulu.

“Jangan timbul lagi soal ini, ini cerita lama. Kita buat cerita baru,” katanya.