Pemimpin mesti boleh dikritik kerana pegang kuasa, kata Syahredzan

PETALING JAYA: Peguam Syahredzan Johan berkata pemimpin mesti boleh dikritik, dikecam malah dihina kerana memegang kuasa, selepas mahkamah melepas dan membebaskan pereka grafik Fahmi Reza hari ini.

Fahmi, 41, dituduh bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memuatnaik imej badut menyerupai bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Instagram Kuasasiswa pada Februari 2016.

“Kita mungkin tidak suka cara (orang kritik), tetapi hak itu mesti dibela,” kata Syahredzan di Twitter.

“Saya harap dalam Malaysia Baharu ini, tidak akan ada lagi orang kena dakwa di mahkamah kerana grafik atau lukisan melibatkan pemimpin.

Hakim Zamri Bakar hari ini membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa untuk menarik balik pertuduhan terhadap Fahmi.

Jazilah berkata Pejabat Peguam Negara menerima representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Fahmi daripada peguamnya, Syahredzan, yang dihantar pada 12 Jun dan 17 Julai lalu.

Jika disabit kesalahan, Fahmi berdepan hukuman penjara 1 tahun atau denda atau kedua-duanya.