Perak tidak hilang pendapatan jika tiada pembalakan, kata pencinta alam

Status Tapak Warisan Dunia Unesco akan memberi banyak peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi pendapatan penduduk. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Perak tidak akan hilang punca pendapatan jika Taman Negeri Royal Belum diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia leh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kata persatuan pencinta alam, EkoKnights.

Presidennya Yasmin Rasyid berkata, menteri besar Perak pelu mengkaji semula garis panduan bagi memelihara hutan dan hidupan liar di Taman Negeri Royal Belum yang menjadi hasil pendapatan rakyat.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri mencari keseimbangan bagi mengurus masalah pembalakan di Taman Negeri Royal Belum. Jika ia dipulihara dengan baik dan diiktiraf oleh Unesco, ia akan sama dengan Pulau Pinang yang memperoleh hasil pendapatan yang tinggi daripada sektor pelancongan.

“Selain itu, status Unesco itu juga akan memberi banyak peluang pekerjaan bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi pendapatan penduduk.

Yasmin berkata kerajaan negeri tidak harus melihat kegiatan pembalakan sebagai satu-satunya punca pendapatan, sebaliknya mengambil langkah melestarikan hutan bagi menjana hasil berganda.

“Jangan ingat pembalakan merupakan satu-satunya punca pendapatan, sekarang sudah abad 21, sepatutnya kita membincangkan isu kelestarian hutan,” katanya.

Sebagai contoh katanya, hutan Belum-Temenggor yang terletak di utara Perak dan menjadi tapak Unesco boleh menjadi contoh kelestarikan hutan dan menjana hasil lebih banyak,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini cadangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan agar Taman Negeri Royal Belum diiktiraf oleh Unesco sebagai tapak warisan dunia tidak disambut positif kerajaan Perak.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun usaha tersebut baik, tetapi pada masa sama kerajaan persekutuan perlu memikirkan hasil pendapatan negeri jika langkah pengiktirafan itu dilaksanakan.

Katanya, kerajaan negeri akan kehilangan pendapatan kerana tidak boleh menggunakan sumber hutan yang ada, selain terpaksa menambah peruntukan bagi tujuan memelihara kawasan tersebut.

“Kalau rakyat dan orang ramai dari seluruh dunia mahu kerajaan negeri tidak menebang pokok, mesti ada sumber pendapatan lain untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Tak adil untuk kita hentikan aktiviti pembalakan dan sebagainya sekiranya negeri tiada sumber kewangan yang cukup untuk mentadbir,” katanya.

Menurut Yasmin, kerajaan Perak perlu membuang pemikiran negatif dan tertutup dalam mengurus sumber asli, sebaliknya menerima cadangan pengiktirafan Unesco sebagai langkah awal ke arah penjanaan hasil lebih besar.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia, I S Shanmugaraj Subramaniam berkata, Taman Negeri Royal Belum berfungsi sebagai kawasan tadahan air serta empangan, sementara kegiatan pembalakan akan menjejaskan ekosistem hutan tersebut.

Beliau berkata, kerajaan Perak perlu mengambil berat cadangan mendapatkan status Unesco itu kerana ia akan membantu melindungi hutan dan hidupan liar di kawasan tersebut.

“Jika kawasan sekitar menjalankan aktiviti pembalakan, ia bukan sahaja memberi gambaran yang buruk kepada pelancong dan merosakkan alam sekitar ,” katanya.

T