Perkasa desak adakan pungutan suara mansuh Akta Hasutan

Ibrahim Ali menggesa meneri dan ketua polis negara yakinkan rakyat bahawa pemansuhkan Akta Hasutan tidak akan melemahkan keselamatan.

KUALA LUMPUR: Gerakan hak Bumiputera, Perkasa, mendesak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pungutan suara tentang memansuhkan Akta Hasutan.

Presiden Datuk Ibrahim Ali menggesa kerajaan jangan gopoh memansuhkan undang-undang keselamatan itu dan melihat sentimen rakyat terbanyak.

“Saya nak tekan disini ‘terlajak perahu boleh undur’. Laksana referendum dan lihat sama ada majoriti menyokong atau tidak pemansuhan akta itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Bagi memastikan rakyat benar-benar faham akan isu berbangkit, kerajaan perlu membenarkan tempoh sebulan untuk kumpulan penyokong dan pembantah berkempen hujah masing-masing.

“Cuba bayangkan kalau Akta Hasutan ini dimansuhkan, bila ada orang hina agama, hina raja-raja, hina bahasa kebangsaan, persoal hak keistimewaan Melayu. Bila itu berlaku akan ada orang persoal kerakyatan,” katanya.

Beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yakinkan rakyat bahawa pemansuhan Akta Hasutan tidak akan melemahkan keselamatan.

“Dr Mahathir sebelum pilihan raya pernah pertahan kewajaran Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan rayanya berjanji akan menghapuskan Akta Hasutan. Beberapa aktivis menggesa kerajaan mengenakan moratorium ke atas akta itu sementara menunggu ia dimansuhkan.