Syarikat insurans didakwa diskriminasi penyakit mental

Kepercayaan karut menyebabkan masyarakat dan pihak insurans memandang sakit mental sebagai penyakit yang tidak perlukan rawatan doktor.

PETALING JAYA: Seorang perunding psikiatri mendakwa syarikat insurans mendiskriminasikan penyakit mental kerana tidak mahu menanggung kos rawatan penyakit itu.

Prof Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (PPUM) percaya ini kerana masyarakat menganggap penyakit mental tidak memerlukan rawatan kesihatan atau masalah tingkah laku.

“Dalam masalah penyakit mental, pertama adalah insurans. Kita telah didiskriminasi dan adakalanya untuk penyakit umum seperti hipertensi pun dah tak layak,” katanya di forum ‘Adapting To The Challenging World’ sempena bulan kesedaran kesihatan mental di PPUM hari ini.

Menurut kajian Kementerian Kesihatan bagi 2017, 29.2% rakyat dewasa mengalami masalah kesihatan mental. Masalah sama turut melanda 12.1% kanak-kanak sebahagian besarnya kerana kemiskinan bandar dan keganasan rumah tangga.

Dalam kalangan anak muda pula, 10% mengalami masalah tertekan, 20% masalah kemurungan dan 40% masalah kegelisahan.

“Di hospital sudah banyak pesakit datang untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit mental,” katanya.

Ditemui selepas forum itu, Muhsin memberitahu kepercayaan karut dalam masyarakat yang mengaitkan penyakit mental dengan “buatan orang” atau “dirasuk syaitan” juga penyebab diskriminasi pesakit mental.

“Kepercayaan karut menyebabkan masyarakat dan pihak insuran memandang sakit mental sebagai penyakit yang tidak perlukan rawatan doktor” katanya.

Muhsin bagaimanapun berkata syarikat insurans perlu menerima penyakit mental memerlukan rawatan moden setara dengan penyakit lain.

“Mengapa mahu diskriminasi penyakit mental sedangkan penjelasan penyakit itu dari segi biologi sudah terbukti ada,” katanya.

Pekerja asing

Sementara itu, Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan PPUM Datin Rodhiah Zakaria pula menyorot perhatian FMT kepada perlindungan insurans untuk pekerja asing.

Beliau berkata pekerja asing dilindungi untuk semua penyakit kecuali sakit mental.

“Kita tidak tahu bagaimana kehidupan mereka di sini untuk mendapatkan rawatan kesihatan mental,” katanya ketika ditemui selepas forum hari ini.

Beliau menggesa masalah mental dalam kalangan pekerja asing diberi perhatian serius kerana mereka juga sebahagian daripada pembangunan negara.

“Jika mereka tidak mendapatkan rawatan, bagaimana keadaan mereka? Siapa akan bantu mereka kerana mereka tiada keluarga atau kawan untuk membantu,” katanya.

Tukar istilah

Sementara itu, salah seorang hadirin di forum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil melihat ada keperluan untuk perbaharui perkataan biasa yang dikaitkan dengan penyakit mental seperti “gila”, “tidak siuman” dan “meroyan”.

Ini kerana ia memberi gambaran negatif terhadap orang yang perlu rawatan dan tidak membantu menyedarkan masyarakat tentang keadaan pesakit.

“Sepatutnya pengunaan bahasa harus betul agar ia dapat beri kesedaran dan mengubah perspektif terhadap pesakit,” katanya, dan menyeru kerjasama antara PPUM dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Orang ramai tidak sensitif dan ada prejudis terhadap pesakit mental.”