Zahid: Umno bantah penjualan aset Khazanah, PNB, jejas ekuti Bumiputra

Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Umno menolak hasrat kerajaan untuk menjual aset Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) kerana akan menjejaskan pegangan ekuiti Bumiputra.

Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata PNB khasnya merupakan agensi amanah Bumiputera dan sebarang penjualan aset akan menjejaskan skim amanah di bawahnya.

“PNB merupakan agensi amanah Bumiputera di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera.

“Justeru sebarang penjualan untuk melepaskan hak pemegangan ekuiti akan menjejaskan peratusan ekuiti potfolio untuk skim saham amanah di bawahnya,” katanya di Twitter.

Selasa lalu, setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua berkata, Khazanah dan PNB akan menyemak semula dan melepaskan aset bukan-strategiknya sebagai sebahagian langkah kerajaan mengurangkan kos.

Pua berkata, Khazanah, sebagai salah satu pihak berkepentingan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama, serta PNB akan mengkaji semula pegangan mereka.

Semalam, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik pendekatan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat menjual aset negara sebagai sebahagian daripada langkah kerajaan mengurangkan hutang negara.

Najib berkata, penjualan aset negara, terutamanya dalam bentuk saham yang disenarai adalah langkah paling mudah dilakukan, namun adakah ia merupakan langkah bijak dan sudah dikaji terlebih dahulu sebelum diambil.

Disebabkan itu juga Najib menggelar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai “pakar jual aset”, bahkan kata beliau ini bukan kali pertama Lim mengambil langkah menjual aset, sebaliknya sudah dilakukan ketika pemimpin DAP itu memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang.