3 banduan lolos dari mahkamah Thailand

BANGKOK: Enam banduan cuba melarikan diri dari Mahkamah Lang Suan di Chumphon, selatan Thailand semalam, dalam insiden nekad yang dirakamkan kamera keselamatan berhampiran.

Tiga daripada banduan terbabit ditahan semula pengawal ketika lolos dengan berjalan kaki, manakala 3 lagi rakan mereka melarikan diri dengan menaiki trak pikap penjara yang digunakan untuk membawa mereka.

Menurut laporan media tempatan, warden penjara yang memandu kenderaan itu cuai dengan meninggalkan trak tanpa dijaga dan kuncinya masih berada dalam kenderaan ketika membawa banduan ke mahkamah.

Tiga daripada banduan itu berlari ke pintu masuk mahkamah, tetapi berjaya ditangkap pengawal yang mengejar mereka, manakala 3 lagi banduan melarikan diri dengan memandu kenderaan penjara yang tidak dijaga itu.

Dalam keadaan tergesa-gesa melarikan diri, trak curi yang dinaiki 3 banduan itu merempuh pintu pagar mahkamah dan menggilis seorang lagi banduan yang tubuhnya ditekan ke tanah oleh seorang daripada pengawal yang mengejarnya.

Tidak jelas sama ada banduan terbabit mengalami kecederaan dalam insiden itu.