Anifah bayangkan parti baharu

Bekas menteri luar negeri berkata dia memberi masa kepada kerajaan untuk selesaikan isu MA63. (Gambar Bernama)

KIMANIS: Bekas menteri luar negeri Tan Sri Anifah Aman membayangkan dia akan menubuhkan satu parti baharu, sebulan selepas meninggalkan Umno.

Dalam ucapannya di satu acara hari ini, Ahli Parlimen Kimanis bertanyakan pandangan lebih 800 hadirin hari ini jika dia bina satu “rumah baharu”.

“Apa pandangan kalian jika kita bina rumah baru?” katanya disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.

Anifah ketika ditemui pemberita mengulang kenyataan tersebut tetapi menambah keputusan bergantung kepada hasil perbincangan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat persekutuan.

Beliau berkata tidak pernah pernah terlintas di fikirannya untuk menyertai Parti Warisan Sabah seperti Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli, dan dia akan kekal sebagai wakil rakyat bebas sehingga tiba masanya untuk membuat keputusan.

“Kita akan lakukannya jika ada keperluan untuk berbuat demikian. Tetapi kita akan beri masa kepada kerajaan untuk selesaikan perkara itu.

“Setakat ini, nampaknya terma-terma jawatankuasa MA63 belum ditakrifkan dengan betul,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Undang-undang Liew Vui Keong mengumumkan penubuhan jawatankuasa pemandu untuk mengkaji MA63 dan dianggotai oleh perdana menteri, ketua menteri Sabah dan Sarawak dan beberapa menteri persekutuan.

Liew berkata jemaah menteri juga meluluskan penubuhan jawatankuasa kerja dan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji pelaksanaan MA63.

Anifah berkata semua pembangkang Sabah akan perhatikan sesi Parlimen dan berikrar mereka akan menyokong rang undang-undang yang memulihkan hak Sabah dan Sarawak.

Beliau memberi amaran jika jawatankuasa itu terbukti hanya permainan politik, dia perlu mengkaji pilihan lain.

Anifah berharap 2 ketua menteri dalam jawatankuasa pemandu itu tidak akan tunduk kepada tekanan dan akan benar-benar mewakili rakyat.

Acara itu dihadiri beberapa pemimpin politik termasuk Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan, Ahli Parlimen Libaran Zakaria Edris dari Umno, dan Adun Sook, Ellron Angin dari Parti Bersatu Sabah (PBRS).

Anifah berkata kehadiran wakil-wakil rakyat dari parti-parti lain di acara itu bukan politik kerana mereka datang untuk MA63.