Azmin geram dengan Isa Samad, tapi akur undang-undang

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akui dia geram melihat Tan Sri Isa Samad dan beberapa individu lain tetapi perlu akur dengan undang-undang dan prosesnya.

Menteri hal ehwal ekonomi berkata demikian ditanya seorang peserta program Bicara Minda Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua, Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini.

Peserta itu ingin tahu mengapa Isa, bekas pengerusi Felda, belum didakwa sehingga kini.

“Memanglah kalau ikutkan hati, ramai dah kita hantar ke dalam (penjara). Ikut hati memang geramlah dengan beberapa individu tapi nak dakwa Jabatan Peguam Negara kena sediakan bukti kukuh sebelum pendakwaan dibuat.

“Tetapi kena faham kita kerajaan yang mematuhi undang-undang. Ada prosesnya,” katanya.

Azmin meminta orang ramai memberi masa kepada Jabatan Peguam Negara perhalusi siasatan kes Isa dan lain-lain bagi memastikan pendakwaan dibuat dengan cermat bersama bukti kukuh.

“Kalau cuai, gopoh, akhirnya kes longgar, mahkamah bebaskan maka itu tamparan kepada kerajaan kerana tidak begitu kemas dalam siasat sesuatu kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu ada perkara yang tidak dapat dinyatakan dalam kertas putih Felda yang bakal dibentang di Parlimen tidak lama lagi.

“Dalam penyediaan kertas putih Felda, kita telah rujuk SPRM apakah bidang kuasa kementerian untuk dedahkan kerakusan yang berlaku dalam Felda.

“Kami dinasihatkan ada perkara tak boleh masuk dalam kertas putih sebab termasuk dalam siasatan.”

Oktoberfest bukan pesta arak

Sementara itu, Azmin berkata penganjuran Oktoberfest 2018 bukan pesta arak seperti yang didakwa dan meminta orang ramai untuk tidak terheret dalam “polemik” sekitar acara itu dan isu lain sepertinya.

“Saya ada pengalaman bagaimana kita urus Oktoberfest ketika di Selangor.

“Ada kelompok kecil yang pertikaikan. Ada beri gambaran pesta arak. Tidak benar sekali. Ia acara tahunan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan berpegang kepada dasar mempertahankan agama Islam namun tidak boleh menghalang budaya dan amalan kaum lain.

“Pihak berkuasa tempatan beri syarat yang perlu diikut seperti dalam kawasan tertutup dan ada penguatkuasa bagi memastikan tak ada orang Islam yang terlibat.

“Di Selangor, di Johor dan beberapa negeri lain berlaku dengan aman,” katanya.

Cukai baharu

Di wacana sama, Azmin turut memaklumkan cukai baharu masih belum diputuskan dan cadangan masih lagi di peringkat perbincangan.

Katanya, keutamaan kerajaan adalah untuk tidak membebankan rakyat terutamanya bagi golongan B40.

Menurutnya, kerajaan kini sedang mengenal pasti mekanisme terbaik yang lebih inovatif untuk meningkatkan hasil negara.

“Kita nak meningkatkan ekonomi negara dan menambah hasil tetapi kita tak nak bebankan rakyat terutamanya bagi golongan B40.

“Oleh itu, cadangan ini masih perlu diperbincangkan dan keutamaan kita adalah untuk tingkatkan hasil negara serta tidak bebankan rakyat,” katanya.