Banjir: Dua pusat pemindahan dibuka di Melaka

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Effendi Ali berkata, cuaca dilaporkan mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan, tetapi tiada tanda menunjukkan paras air meningkat. (Gambar Bernama)

MELAKA: Dua pusat pemindahan banjir dibuka di Melaka berikutan hujan lebat sejak 5 petang semalam hingga 8 malam tadi yang turut mengakibatkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata 2 pusat pemindahan banjir yang dibuka itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bembam di Jasin dan Balai Raya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.

“Setakat 8 pagi ini, seramai 32 orang penduduk melibatkan 7 keluarga dari Kampung Air Panas Bemban dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di SMK Seri Bembam.

“Balai Raya Kampung Seri Jeram pula menempatkan 7 orang penduduk membabitkan 2 keluarga dari Kampung Seri Jeram,” kata Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri dilaporkan mendung dan hujan renyai di beberapa kawasan, namun sehingga kini tiada tanda menunjukkan paras air meningkat.

Katanya, agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah, APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia sedang memantau keadaan dan akan memaklumkan keadaan dari semasa ke semasa.