Cuti sekolah berperingkat: Ibu bapa sukar cuti dengan anak, kata NUTP

Kamarozaman Abd Razak berkata, kajian perlu dilakukan untuk melihat trend pelancongan di Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cadangan cuti sekolah secara berperingkat antara negeri akan membawa impak negatif kepada ibu bapa kerana sukar menghabiskan percutian bersama anak yang bersekolah di negeri berlainan, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak.

“Bagaimana anak di sekolah yang berbeza hendak melancong bersama keluarga, jika cuti sekolah dibuat secara berperingkat antara negeri?” katanya ketika dihubungi FMT.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berbincang dengan semua pihak berkaitan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Sebelum Kementerian Pelancongan buat keputusan ini, saya mohon mereka duduk semeja dengan Kementerian Pendidikan untuk membuat perbincangan.

“Dalam hal ini, kita tidak tahu bagaimana cuti ini akan dilaksanakan. Kajian perlu dilakukan untuk melihat trend pelancongan di Malaysia.

“Jika dilaksanakan cuti secara berperingkat, saya bimbang selera pelancong pada tahun itu akan berkurangan dan keuntungan kedai makan dan pusat pelancongan akan berkurangan.”

Selasa lalu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik mencadangkan cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di destinasi tumpuan pelancongan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul data daripada pihak hotel dan pengusaha pelancongan sebelum berbincang dengan Kementerian Pendidikan.

Katanya, cadangan itu hanya membabitkan cuti sekolah pada Mac, Jun dan September, bukannya cuti hujung tahun kerana cuti panjang itu seragam buat semua negeri.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan NiagaKawi, Datuk Alexander Isaac dilaporkan berkata cadangan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana ia akan menjejaskan rancangan keluarga atau saudara-mara yang tinggal di negeri berlainan untuk cuti bersama.

“Sistem (cuti sekolah) sekarang agak baik. Malah, Thailand pernah cuba cuti sekolah secara berperingkat suatu ketika dahulu dan ia gagal,” katanya kepada Bernama Rabu lalu.