Fuziah berundur daripada Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Lynas

Fuziah Salleh berjanji tidak akan berhenti daripada mengkritik Lynas.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh melepaskan jawatan pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Lynas bagi mengelakkan syarikat nadir bumi itu mempergunakannya untuk mempertahankan diri.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mencadangkan jawatankuasa itu dirombak semula.

“Saya tidak mahu Lynas terus mempergunakan saya sebagai alasan untuk mempertahankan diri mereka.

“Ketika ini, Lynas tidak menangani isu itu, mereka masih menggunakan strategi media untuk menutup pengurusan sisa radioaktif yang mereka tidak mahu tangani.

“…saya tidak mahu berada dalam situasi di mana satu hari nanti, Lynas akan menolak keputusan (jawatankuasa itu) dengan alasan saya mengkritik mereka,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau bagaimanapun berjanji akan terus mengkritik Lynas.

“Saya tidak berputus asa. Saya memilih berundur kerana saya tidak mahu memberi mereka sebarang alasan lagi. Kita patut menangani isu sebenar. Dan apa isu sebenar? Iaitu pengurusan sisa.

“Kini mereka kata saya berat sebelah. Jika saya tiada dalam jawatankuasa itu, saya akan terus bercakap dari luar.

“Kenyataan saya adalah jelas, adakah ia selamat? Jika ia selamat, kenapa tidak kembali beroperasi di Australia?” soalnya.

Lynas sebelum ini bimbang Fuziah dan ahli jawatankuasa itu, Wong Tack yang lantang mengkritik kilang berkenaan akan bertindak berat sebelah.

Minggu lalu, Fuziah berjanji semak semula “terbuka dan telus” ke atas kilang itu yang memproses unsur nadir bumi dari lombong Gunung Weld di Australia Barat sejak 6 tahun lalu.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze dilaporkan berkata, Lynas Malaysia bukan loji nuklear dan tidak menghasilkan sisa nuklear, toksik atau radioaktif.

Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Dr Ismail Bahari pula berkata, paras radiasi di Lynas Malaysia setara dengan radiasi persekitaran di Pantai Pasir Hitam, Langkawi dan jauh lebih rendah daripada sisa perlombongan bijih timah.

Pakatan Harapan yang memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu, bimbang terhadap loji di Gebeng, Kuantan itu yang pencinta alam dakwa membahayakan persekitaran.