Imigresen Sabah gantung pendaftaran anak pelarian

Ratusan orang memperbaharui pas mereka di Jabatan Imigresen di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah menghentikan penerimaan permohonan pendaftaran anak untuk mendapatkan dokumen IMM13 daripada ibu bapa pemegang dokumen IMM13.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman dalam kenyataannya hari ini berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta di seluruh Sabah dan Labuan.

Untuk rekod, dokumen IMM13 dikeluarkan kepada warga Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an dari negara asal mereka di selatan Filipina ekoran krisis politik di wilayah selatan negara itu.