Kerajaan perlu atasi isu insurans untuk penyakit mental, kata Charles Santiago
Kos rawatan penyakit mental, termasuk perkhidmatan kauseling dan ubat-ubatan, tidak ditanggung oleh syarikat insurans.
PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan menangani isu syarikat insurans yang tidak berminat menanggung kos rawatan penyakit mental kerana seorang daripada 5 rakyat menderita masalah emosi dan sakit mental kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Beliau berkata, kos rawatan penyakit mental, termasuk perkhidmatan kauseling dan ubat-ubatan, tidak ditanggung oleh syarikat insurans dan merupakan isu penting kerana kosnya mahal.
“Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kos rawatan penyakit mental. Pertama, skim perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Kselamatan Sosial (Perkeso) perlu diperluaskan agar dapat membantu pesakit mental mendapatkan rawatan.
“Kedua Kementerian Sumber Manusia perlu menggubal undang-undang baru di bawah Perkeso bagi memberi ruang kepada pekerja yang menghidap penyakit mental mendapatkan rawatan daripada hospital,” katanya kepada FMT.
Semalam, seorang perunding psikiatri mendakwa syarikat insurans mendiskriminasikan penyakit mental kerana tidak mahu menanggung kos rawatan penyakit itu.
Prof Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (PPUM) percaya ini kerana masyarakat menganggap penyakit mental tidak memerlukan rawatan perubatan atau melihatnya sebagai masalah tingkah laku.
“Dalam isu penyakit mental, pertama, ialah masalah insurans. Pesakit didiskriminasi dan adakalanya untuk penyakit umum seperti hipertensi pun tak layak,” katanya pada forum bertajuk ‘Adapting To The Challenging World’ yang diadakan bersempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.
Charles berkata, Kementerian Kewangan boleh mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans bagi melonggarkan dan memperluaskan skop perlindungan supaya orang ramai dapat menggunakan insurans mereka untuk membeli ubat dan mendapatkan rawatan psikologi dan psikatari di hospital.
“Kementerian Kesihatan juga perlu memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit mental sebagai sesuatu yang serius.
Charles juga berkata, Kementerian Pendidikan pula boleh menggalakkan pengajian lanjutan dalam bidang kaunseling dan psikatari bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam kalangan pelajar di negara ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Selain itu kata beliau, ibu bapa perlu mengubah paradigma supaya melihat penyakit mental sebagai satu masalah kesihatan dan tidak lagi melihatnya secara tradisi sebagai masalah tingkah laku semata-mata.