Kerajaan wujudkan 3 kategori rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan 3 kategori rumah mampu milk yang akan dibina di bawah Dasar Perumahan Negara selewat-lewatnya pertengahan November ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata rumah berharga RM150,000 dan ke bawah, RM150,000-RM300,000 dan RM300,000-RM500,000 akan termasuk dalam kategori baharu itu.

Zuraida berkata semua projek perumahan bawah 5 entiti perumahan terdiri daripada Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), UDA Holdings Bhd, Syarikat Perumahan Negara (SPNB) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diselaraskan di bawah 1 program.

“Ini bermakna entiti perumahan itu akan menggunakan reka bentuk yang sama, harga dan pengurusan yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex 2018) hari ini.

Zuraida berkata pelbagai usaha dilakukan untuk merapatkan jurang harga antara rumah mampu milik dan rumah mewah melalui perbincangan berterusan dengan Bank Negara Malaysia.

“Kami juga meneliti pelbagai pilihan bagi keperluan perumahan sosial di kawasan bandar, terutamanya skim sewa milik (RTO) dengan penyewa akan diberikan masa untuk merancang dan membeli rumah tersebut selepas 5 tahun (menyewa),” katanya dan menambah skim bina-dan-jual tidak menjadi sebahagian daripada agenda kementerian buat masa ini.

Sementara itu, bekas presiden Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor berharap kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai baharu serta kos pembangunan dan pematuhan ke atas industri perumahan.

Ini kerana industri sudah tertekan dengan margin yang sangat rendah.

“Ia berkaitan kuantiti, bukan margin bagi kami. Margin yang dicatatkan kami adalah lebih kecil iaitu kira-kira 12 hingga 16% berbanding 35 hingga 40% kira-kira 30 tahun lepas.

“Untuk mengatakan kami kini memperoleh lebih banyak keuntungan adalah tidak benar. Kami mencatatkan prestasi keuntungan yang hampir sama kerana kuantiti lebih besar. Sebagai contoh jika kami perlu 1,000 unit untuk mencapai margin kami, sekarang kami perlu menjual 3,000 unit untuk merekodkan margin yang sama,” katanya.

Mapex 2018 yang dianjurkan Rehda selama 3 hari akan berakhir Ahad.