Korea Utara-Selatan adakan perbincangan peringkat tinggi 15 Okt depan

Dua negara Korea itu sebelum ini bersetuju untuk antara lain menghentikan semua latihan ketenteraan, mewujudkan zon larangan terbang di sempadan dan menghapuskan periuk api dan pos kawalan di DMZ. (Gambar Reuters)

SEOUL: Korea Utara dan Selatan akan mengadakan pertemuan peringkat tinggi Isnin depan di perkampungan Panmunjom di sempadan kedua-dua negara itu bagi membincangkan langkah seterusnya ke arah sidang puncak mereka, kata Kementerian Penyatuan Seoul hari ini.

Pada sidang puncak ketiga mereka di Pyongyang bulan lepas, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un bersetuju untuk memulihkan kerjasama ekonomi, termasuk menyambung semula laluan kereta api dan jalan serta membuka semula usaha sama taman perkilangan dan aktiviti pelancongan ke pusat peranginan Gunung Kumgang di Korea Utara apabila syarat-syaratnya dipenuhi.

Moon berkata Kim memberitahu, beliau akan menjemput pakar antarabangsa untuk menyaksikan pelupusan tapak peluru berpandu utama dan penutupan kompleks nuklear Yongbyon sekiranya Washington mengambil langkah timbal balik.

Pertemuan terbaru akan diadakan di bahagian selatan perkampungan Panmunjom dalam Zon Bebas Tentera (DMZ) dan diketuai oleh Menteri Penyatuan Korea Selatan, Cho Myoung-gyon, kata kementerian itu.

Korea Utara belum mengesahkan delegasinya tetapi sesi pertemuan sebelum ini dipimpin oleh Ri Son Gwon, pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Aman Negara yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal lintas sempadan.

“Melalui pertemuan peringkat tinggi, kami akan membincangkan cara untuk melaksanakan keseluruhan perjanjian Pyongyang dan memuktamadkan jadual perbincangan lanjut dalam setiap bidang,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pemakluman itu dikeluarkan sewaktu Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan bahawa pemulihan hubungan 2 Korea itu berlaku terlalu cepat berbanding perundingan pelupusan program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menyuarakan “rasa tidak puas hatinya” berhubung perjanjian ketenteraan 2 negara itu dalam sidang puncak bulan lepas – perkembangan yang jarang berlaku dalam hubungan AS-Korea Selatan.

Dua negara Korea itu bersetuju semasa sidang berkenaan untuk antara lain menghentikan semua latihan ketenteraan, mewujudkan zon larangan terbang di sempadan dan secara beransur-ansur menghapuskan periuk api dan pos kawalan di DMZ.