Lelaki minta kebenaran merompak, bila ditolak serah diri pada polis

Bercakap mengenai adap dan disiplin, rakyat Jepun menjadi contoh budaya yang paling bertamadun buat masa kini dengan amalan perlakuan yang harus dicontohi semua.

Kalau selama ini, kita mengangkat mereka kerana cara mereka membersihkan tempat awam selepas menggunakannya, beratur menaiki kenderaan awam, sistem pembelajaran, disiplin dalam mengikuti aturan sosial, kini ada juga kena belajar daripada seorang perompak Jepun.

Menurut laporan Yahoo Jepun, seorang lelaki memasuki sebuah kedai serbaneka di bandar raya Ogori, Fukuoka dengan niat untuk merompak.

Bagaimanapun sebelum membuat apa-apa lelaki itu dengan sopan minta kebenaran pengurus kedai tersebut.

“Saya masuk ke premis ini dengan tujuan untuk merompak. Boleh anda beri kerjasama?” tanya perompak itu.

Pengurus kedai itu juga dengan hormat menolak pelawaan tersebut, “Saya tidak boleh melakukannya.”

Selepas permintaannya ditolak, perompak itu berjalan keluar dari premis berkenaan dan terus berjalan ke balai polis Ogori untuk membuat pengakuan dan menyerah diri.

Sewaktu ditahan, polis perasan lelaki itu memiliki pisau yang mungkin boleh membahayakan orang lain.

Kes ini mendapat liputan meluas di media Jepun selain laman sosial.

Ramai yang menyimpul ia hanya percubaan lelaki itu untuk ditahan dan dipenjarakan.

Sebelum ini ada laporan yang menyatakan warga emas di Jepun yang tidak berkeluarga dan ditinggalkan lebih memilih untuk ke penjara kerana kualiti hidup di sana lebih baik serta terjaga.

Oleh itu, mereka sanggup buat kesalahan kecil atau cuba melakukan sesuatu dengan harapan akan ditangkap polis dan dipenjarakan. Ia umpama “rumah amal” yang lebih terjagga kerana berasa di bawah pengawasan pihak berkuasa selain pelbagai aktiviti sosial yang dianjurkan di sana.