Orang Asli mahu sekolah dibina di kampung, elak kes pelajar hilang

Awin Pehik meminta kerajaan mengubah corak pembelajaran Orang Asli yang hanya memfokuskan pendekatan membaca, menulis dan mengira. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Orang Asli di Gua Musang, Kelantan merayu Putrajaya mengkaji semula sistem pendidikan mereka dan membina sekolah di dalam kawasan kampung bagi mengelakkan pelajar terpaksa tinggal di asrama dan berjauhan daripada keluarga.

Cadangan Ketua Kampung Pos Bihai, Awin Pedik itu bertujuan mengelakkan tragedi 22 Ogos 2015 berulang, di mana 5 daripada 7 kanak-kanak Orang Asli yang dilaporkan hilang, meninggal dunia selepas pencarian lebih 40 hari.

Beliau berkata, selain lokasi sekolah yang amat jauh dari kampung mereka, anak Orang Asli yang masih kecil juga mengalami kejutan budaya apabila belajar di luar kawasan penempatan mereka.

“Jadi, lebih baik kerajaan bina sekolah di setiap kampung Orang Asli. Tidak banyak kelas tidak mengapa, janji dekat dengan kawasan penempatan mereka supaya keluarga tidak perlu menghantar anak-anak ke sekolah, masuk asrama jarak jauh.

“Kadang-kadang, anak-anak ini mereka tidak selesa sekolah jauh dengan keluarga dan ada yang lari dari asrama untuk balik ke kampung,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Awin turut mendakwa ada kes buli pelajar Orang Asli yang menyebabkan mereka takut ke sekolah dan sanggup bersama keluarga melakukan aktiviti harian seperti bercucuk tanam, memburu dan mengutip hasil hutan.

“Orang Asli hidup dalam satu suasana berasingan dengan masyarakat lain, bila mereka ke sekolah yang bercampur dengan bangsa lain, mereka tidak selesa kerana tidak tahu cara, budaya orang luar.

“Jika sekolah dekat, minat mereka hendak ke sekolah tinggi, ibu bapa boleh pantau pergerakan anak mereka.

“Bila jarak jauh, ibu bapa tidak tahu apa yang berlaku kepada anak-anak mereka dan kerajaan juga tidak perlu bazir wang membina asrama apabila sekolah dekat dengan rumah,” katanya yang menjadi ketua kampung sejak 20 tahun lalu.

Pada 22 Ogos 2015, 7 kanak-kanak Orang Asli berusia 7 hingga 11 tahun dilaporkan hilang dan hanya 2 mangsa, Norieen Yakoob dan Maksudiari Aluj ditemui dalam keadaan kurus, lapar dan trauma, selepas lebih 40 hari pencarian.

Haikal Yaakob dan Ika Ayel berusia 9 tahun, Juvina David, 7, Linda Rosli dan Sasa Sobrie yang berusia 8 tahun pula maut di dalam hutan.

Mereka pada awalnya didakwa melarikan diri dari asrama kerana takut dimarahi guru selepas mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Keluarga mangsa kemudiannya memfailkan 6 saman di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 13 Ogos lalu, atas kecuaian menyebabkan 5 kanak-kanak itu meninggal dunia.

Mereka menuntut ganti rugi, beberapa permintaan berkaitan pendidikan dan kebajikan dalam saman yang difailkan terhadap kerajaan dan 8 pegawai kerajaan atas dakwaan melanggar tugas statutori, fidusiari dan Perlembagaan.

Awin menyokong penuh tindakan keluarga itu memfailkan saman dan mendesak kerajaan menjalankan siasatan lebih terperinci ke atas tragedi 3 tahun lalu itu.

“Kerajaan jangan abaikan kes ini begitu sahaja, biar ada penyelesaian dan siasatan lebih telus supaya keluarga yang kehilangan anak itu dapat pembelaan dan maklum perkembangan siasatan berhubung tragedi itu.”

Ubah sukatan pelajaran Orang Asli

Awin meminta kerajaan mengubah corak pembelajaran Orang Asli supaya ia sama dengan sekolah biasa, bukannya hanya memfokuskan pendekatan 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Bila anak-anak di sekolah rendah kawasan pedalaman ini masuk sekolah menengah dan bercampur dengan bangsa lain, mereka rasa kekok dan jauh ketinggalan dari sudut ilmu yang dimiliki.

“Sedangkan bagi anak-anak Orang Asli kawasan pedalaman, mereka hanya diajar 3M. Kadang-kadang bila guru tunjuk bendera negeri, mereka tidak tahu nama-nama negeri.

“Kerajaan perlu selaraskan cara pembelajaran seperti sekolah masyarakat lain supaya mereka tidak lagi kekok dan ketinggalan.”