Pembangunan hab IT Cyberjaya tersasar, kata Azmin

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembangunan di Cyberjaya sudah tersasar daripada perancangan awal iaitu menjadi hab teknologi maklumat seperti Lembah Silikon, Amerika Syarikat dan Bangalore, India.

Menteri hal ehwal ekonomi berkata Cyberjaya bertukar menjadi hab pembangunan hartanah.

“Cyberjaya sudah menjadi hab pembangunan hartanah. Ia sudah lari daripada matlamat asal pembangunan Cyberjaya iaitu menjadi hab teknologi maklumat,” katanya dalam program bual bicara “Ekonomi Kesejahteraan Untuk Semua” di Dewan Karangkraf, Shah Alam.

Azmin berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil berat perkara ini dan mahu pembangunan Cyberjaya kembali kepada matlamat asal.

“Ini sebenarnya antara arahan perdana menteri kepada saya untuk melihat semula pembangunan Cyberjaya balik kepada asal bagi menarik beberapa pemain-pemain industri teknologi untuk datang semula ke Malaysia.

“Ini antara perkara yang sedang kita teliti kerana Malaysia tidak boleh tertinggal dalam mendakap industri-industri baharu berteknologi tinggi,” katanya.