Pembantu peribadi buat laporan polis terhadap Najib

PETALING JAYA: Pembantu peribadi kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap majikannya malam tadi.

Dipercayai dibuat atas arahan Najib, laporan yang diterima FMT menunjukkan ia dibuat di Balai Polis Hartamas kira-kira 8.16 malam tadi.

Pembantu itu merujuk kepada laporan media bertarikh 8 Oktober di mana pemimpin DAP Lim Kit Siang mahu siasatan dijalankan ke atas kes kematian wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, timbalan pendakwaraya Kevin Morais, pengasas AmBank Hussain Najadi, pembantu kepada wakil rakyat DAP Teoh Beng Hock dan pembantu pengarah kastam Ahmad Sarbani Mohamed.

“Dalam artikel tersebut, Lim mahu siasatan semula dijalankan untuk kes Altantuya, Kevin, Hussain, Teoh dan Ahmad Sarbani yang pernah dikaitkan oleh pemimpin Pakatan Harapan ke atas majikan saya.

“Saya mahu pihak polis membuka semula siasatan ke atas kes-kes ini. Jika hasil siasatan menunjukkan majikan saya tidak terlibat maka saya pohon polis untuk membersihkan nama Najib,” katanya dalam laporan itu.

Pemb antu itu juga menyarankan polis memanggil Lim untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Tetapi jika dakwaan Lim tidak berasas dan merupakan satu pembohongan politik, saya juga menuntut pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau,” katanya.

Najib semalam mengumumkan dia akan meminta pembantunya membuat laporan polis terhadap dirinya hari ini bagi memulakan siasatan khas ke atas kes-kes tersebut.

Bekas perdana menteri itu berkata nampaknya dia sudah membuang masa melayan Lim kerana tiada siasatan khas dilancarkan selepas gesaaan demi gesaan dibuat dalam bulan ini.

Najib dan Lim saling balas-membalas kenyataan selepas pemimpin DAP berkata keadilan dipersendakan semasa pentadbiran Najib kerana kes-kes berprofil tinggi tidak disiasat pada 7 Oktober lalu.