Pemimpin NGO berdepan saman kerana artikel situasi air di Selangor

Isham Jalil berkata dia tidak menyebut Syabas dalam artikelnya tetapi syarikat itu meminta ganti rugi dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin NGO dikenakan saman oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana menulis artikel yang kritis terhadap situasi air di Selangor.

Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil berkata, dia menerima saman dan pernyataan tuntutan daripada firma guaman mewakili syarikat itu 2 hari lalu.

“Saya sudah melantik firma guaman untuk mencabar saman itu. Ia bermotifkan politik untuk menghalang saya menggunakan hak saya untuk bersuara,” katanya.

Artikel “Selangor facing a serious public health issue” disiarkan dalam New Straits Times pada 19 Mac sebelum pilihan raya umum ke-14.

Artikel “Isu air Selangor dan kesihatan awam” disiarkan dalam Berita Harian pada hari yang sama.

Isham berkata dia tidak menyebut Syabas dalam artikel itu tetapi syarikat itu meminta ganti rugi dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

“Mereka juga mahukan injuksi untuk menarik balik dan tidak lagi menerbitkan artikel itu,” katanya.

Pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata artikel ditulis beberapa hari selepas pengguna di negeri itu mengalami gangguan air selama 10 hari.

Isham berkata menerusi artikel itu dia tonjolkan rakyat menghadapi masalah yang serius disebabkan gangguan air yang kerap.

Beliau juga menulis bahawa kualiti air yang dibekalkan disyaki kerana pencemaran.

Isham berkata dia menyokong dakwaannya dengan fakta dan angka dan dia menulis artikel itu kerana perkara itu ada kepentingan orang ramai.

“Saya tidak gentar dan tetap tegas dengan pendirian saya tentang apa yang saya tulis. Saya akan terus bersuara tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.