Putrajaya digesa buka dokumen gaji minimum

MTUC berkata kerajaan menyebabkan penerima gaji rendah kerugian apabila menaikkan gaji minimum sebanyak RM50. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan membenarkan orang ramai membaca dokumen berkaitan keputusanya mengenai gaji minimum.

“Mengapa mereka merahsiakan dokumen itu. Benarkan orang ramai membacanya. Laporan 1MDB tidak lagi dirahsiakan, jadi mengapa tidak dokumen itu? kata Setiausaha Agung J Solomon pada sidang media di Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank hari ini.

Putrajaya pada September mengumumkan kadar gaji minimum baharu ditetapkan pada RM1,050 atau RM5.05 sen sejam bagi seluruh negara berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Pada masa ini, gaji minimum ditetapkan pada RM1,000 sebulan untuk Semenanjung dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak.

Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebelum ini mengkaji cadangan kenaikan gaji minimum dan cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

Solomon berkata kerajaan menyebabkan penerima gaji rendah kerugian apabila ia menaikkan gaji minimum sebanyak RM50 sahaja, dan menangguhkan kajian selama 6 bulan lagi.

“Apabila gaji minimum berlaku pada 2011, akta itu mengatakan harus ada kajian semula setiap 2 tahun, dan kajian semula itu boleh dilakukan lebih awal.

“Kajian pertama berlaku pada Januari 2013. Tetapi kajian seterusnya tidak akan dilakukan dalam tempoh 2 tahun seperti yang diharapkan. Kerajaan terdahulu melanjutkannya selama 18 bulan kepada 1 Julai 2016.

“Kita hilang 18 bulan kerana kerajaan dulu tidak ikut akta.

“Tahun ini, kajian seterusnya sepatutnya dibuat pada 1 Julai. Tetapi kerajaan pada September mengumumkan kajian seterusnya pada 1 Januari 2019. Sekarang hilang 6 bulan lagi.”

Solomon menepis dakwaan kerajaan mengatakan gaji minimum tidak dapat dinaikkan seperti yang dijanjikan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan kerana tidak sedar betapa teruknya keadaan kewangan negara.

“Semua orang termasuk menteri tahu tiada duit sebelum pilihan raya umum lagi.

“PH sebagai pembangkang ketika itu berkempen dan berkata jika kita kekalkan Barisan Nasional, kita akan muflis.”

Solomon berkata walaupun gaji minimum memberi kesan kepada sektor swasta, kerajaan berada di kedudukan untuk mengarahkan sektor swasta membayar gaji munasabah.

“Tambahan RM50 sama sekali tidak boleh diterima.

“Ini adalah kerajaan sama mengatakan mereka mahu berkongsi kemewahan dan kemakmuran secara adil dalam kalangan rakyat.”

Beliau berkata kerajaan PH harus ingat rakyat mengundi untuk perubahan selepas 60 tahun kerana mereka sudah menderita.

Pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan bersetuju dengan gesaan Solomon yang mahu dokumen berkaitan perbincangan tentang gaji minimum dibuka kepada orang ramai.

“Kami yakin laporan itu mencadangkan kuantum yang lebih tinggi daripada apa yang diumumkan kerajaan.

“Mereka seru ketelusan, inilah masanya mereka tunjukkan ketelusan itu.”

Sementara itu, tunjuk perasaan Bantah1050 terhadap kenaikan gaji minimum RM50 itu akan diadakan pada 17 Oktober di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Ia dijangka menarik sekurang-kurang 300 peserta.