Sukar bayangkan kerajaan PH satu penggal, kata penganalisis politik

Rafidah berkata, PH akan menjadi kerajaan satu penggal jika ia terlalu mengikut kehendak manifestonya.

PETALING JAYA: Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata sukar untuk membayangkan telahan Tan Sri Rafidah Aziz bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menjadi kerajaan satu penggal jika ia terlalu mengikut kehendak manifestonya.

Kamarul berkata senario yang lebih mungkin ialah PH menjadi kerajaan satu penggal sekiranya ia terlalu mengabaikan kehendak manifesto pilihan raya gabungan politik itu.

“Apa yang berlaku ialah kesukaran PH untuk melaksanakan janji dalam manifestonya yang melibatkan implikasi kewangan yang besar seperti penghapusan tol atau penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu yang berkata beliau terkilan kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberitahunya akan memegang portfolio Kementerian Pendidikan, namun tidak dilakukannya kerana janji manifesto.

Rafidah yang pernah menerajui Wanita Umno turut mengingatkan bahawa tidak mustahil kerajaan PH akan kehilangan kuasa sekiranya ia tidak dapat membuat keputusan penting hanya kerana terikat dengan manifesto yang dijanjikan.

Kamaruzaman berkata, tidak dinafikan Mahkamah Rayuan bahawa pada 5Mac 2014 pernah memutuskan bahawa sesebuah kerajaan tidak perlu terikat dengan manifesto dan menganggap ia hanyalah obligasi moral, bukan undang-undang.

Bagaimanapun kata beliau, sebagai sebuah kerajaan berwibawa, PH perlu sedaya-upaya memenuhi janji yang dibuat dengan meletakkan ukuran perlaksanaannya sebagai petunjuk utama pencapaiannya.

“Ini selaras dengan kata-kata aluan Dr Mahathir dalam manifesto itu sendiri bahawa PH bersedia dihakimi oleh rakyat dari segi sejauh manakah ia berjaya memenuhi janji-janji itu.

“Malah kata-kata ini ditambah dengan akuan sekiranya ia gagal atau mungkir janji, maka rakyat boleh menolak PH melalui proses demokrasi,” katanya.

Kamarul berkata, bagi janji yang tidak dapat dilaksanakan, kerajaan perlu memberi penjelasan yang meyakinkan tentang halangan yang dihadapi supaya pengundi tidak marah atas kegagalan itu.

Manifesto pilihan raya umum PH yang dilancarkan oleh Dr Mahathir pada awal Mac tahun ini menjelang pilihan raya umum pada 9 Mei menjanjikan 10 perkara, bertujuan terutamanya meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH.

Ia terangkum dalam 5 teras Buku Harapan yang dilancarkan di Pusat Konvesyen Ideal, Shah Alam di hadapan pimpinan PPBM, DAP, PKR dan Amanah dan lebih 1,000 hadirin.

Dr Mahathir dalam ucapannya berkata PH tidak akan mampu melaksanakan janji manifesto itu jika gabungan itu gagal menumbangkan Barisan Nasional.

“Kalau kita kalah, janji-janji ini tidak dapat dilaksanakan. Walaupun kita yakin menang tapi hari ini kita belum menang dan kita perlu berusaha mencapai kemenangan,” katanya dalam majlis itu.