Tak laksana cuti sekolah berperingkat ikut negeri, kata menteri

Mohamaddin Ketapi berkata, ia hanya cadangan timbalannya yang tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata cadangan pelaksanaan cuti sekolah secara berperingkat mengikut negeri hanya pandangan peribadi timbalannya dan ia tidak akan dilaksanakan.

Katanya, cadangan yang disuarakan Muhammad Bakhtiar Wan Chik itu juga tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian.

“Jika anda tanya saya (berkenaan cadangan cuti sekolah berperingkat antara negeri) jawapannya adalah tidak (setuju),” katanya selepas merasmikan “Swedish Fashion and Design Stories Exhibition” di Balai Seni Negara hari ini.

Selasa lalu, Bakhtiar mencadangkan cuti sekolah secara berperingkat mengikut negeri bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan, namun kebanyakan pihak tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata, dasar pelancongan China yang diperkenalkan beberapa tahun lalu, iaitu menggalakkan warganya melawat destinasi pelancongan domestik antara faktor menyebabkan penurunan kedatangan pelancong dari negara itu ke Malaysia semasa cuti umum “Golden Week” minggu lalu di China.

“Cuti ‘Golden Week’ itu hanya untuk tempoh seminggu (1 hingga 7 Oktober) apabila warga China digalak bercuti dalam negara berbanding ke luar negara.

“Ia bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia menyaksikan sedikit penurunan jumlah pelancong China, tetapi ia hanya untuk tempoh seminggu,” katanya.

Semalam, pengusaha industri pelancongan dilaporkan berkata, ketibaan pelancong dari tanah besar China ke Malaysia mencatatkan penurunan antara 30 ke 35 peratus minggu lepas sempena cuti umum Golden Week berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Kira-kira 180,000 pelancong China melawat Malaysia sempena cuti panjang seminggu bagi meraikan Hari Kebangsaan China pada 2017.

Sementara itu, pameran fesyen dan reka bentuk Sweden itu dianjurkan Kedutaan Sweden di Malaysia dan Balai Seni Negara, berlangsung semalam hingga 11 November ini.

Pameran di Balai Seni Negara itu mengetengahkan 58 gambar cetakan dan paparan produk oleh penaja termasuk Ikea, Daniel Wellington dan Assa Abloy.