‘Tangani kes buli dengan mendidik dan pemulihan, bukan menghukum’

Dr Wan Azizah Wan Ismail (duduk, tengah) bergambar dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson, selepas program “Malaysian Against Bullies” hari ini. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Pendekatan bersifat mendidik dan pemulihan perlu diambil dalam menangani kes buli berbanding kaedah menghukum, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, pembuli perlu dipulihkan supaya mereka boleh diterima kembali ke dalam kelompok masyarakat, rakan sepergaulan dan ahli keluarga mereka.

“Dalam hal ini, semua pihak mestilah memainkan peranan proaktif untuk memastikan gejala buli dapat dibendung dan usaha-usaha ke arah itu dapat ditambah baik,” katanya ketika merasmikan program “Malaysia Against Bullies” di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson hari ini.

Program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kesan dan akibat perbuatan buli terhadap mereka.

Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat turut menyeru guru, kaunselor, ibu bapa dan masyarakat sentiasa peka terhadap perubahan perilaku pelajar.

Katanya, tindakan segera perlu diambil sekiranya seseorang pelajar menunjukkan tanda dibuli.

“Sekiranya anda menerima laporan berkaitan salah laku buli, pastikan tindakan diambil dan jangan sesekali melengahkan atau bersikap sambil lewa terhadap laporan ini.

“Kita bertanggungjawab kepada keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar dan perkara ini tidak boleh dikompromi,” katanya.

Sementara itu, Azizah turut mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Port Dickson (KKPD).

Ketibaannya disambut Pegawai Kesihatan Daerah II Port Dickson, Dr Rosni Odin.

Beliau kemudiannya dibawa melawat unit pesakit luar, unit kesihatan ibu dan anak serta unit perkhidmatan pergigian.

Dalam lawatan singkat itu, beliau turut beramah mesra dengan kakitangan KKPD dan orang ramai.