Tiada pesta arak di Terengganu, kata exco

PETALING JAYA: Exco Terengganu, Ariffin Deraman menafikan dakwaan tersebar di media sosial yang pesta arak, Oktoberfest akan diadakan di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri itu berkata, wakil kerajaan negeri ke premis itu dan mendapati tiada pesta arak akan dianjurkan.

“Hasil kunjungan tersebut mendapati premis yang dinyatakan itu sememangnya memiliki lesen menjual minuman keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak ketika dihubungi FMT berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan untuk penganjuran Oktoberfest.

Laman web satu jenama arak terkemuka tempatan menyenaraikan premis yang mengadakan promosi arak sempena Oktoberfest, termasuk sebuah kedai di Jalan Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Senarai itu mengundang reaksi negatif pengguna media sosial kerana negeri itu kini ditadbir PAS selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu dan mendakwa kerajaan negeri terbabit dalam penganjuran pesta arak itu serta mempersoalkan pendirian kerajaan negeri berhubung isu itu.

Pemilik kedai di Jalan Kampung Cina itu mengesahkan tiada pesta arak dianjurkan dan mereka hanya menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Kita hanya ambil produk jenama itu sahaja. Di laman sesawang yang dinyatakan itu memang diletakkan nama kedai kita, itu sahaja, tetapi tidak ada sebarang acara istimewa.

“Kita menjalankan perniagaan seperti biasa, terpulang kepada pelanggan bukan Muslim yang datang untuk minum, tidak ada apa-apa yang istimewa,” katanya yang enggan mendedahkan namanya ketika dihubungi FMT.