Zahid selesai beri keterangan selepas 4 hari disoal SPRM

PUTRAJAYA: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sesi soal siasat hari ini mungkin sesi terakhir selepas 3 hari disoal secara berterusan.

Sesi hari ini berlangsung selama lebih 7 jam. Beliau ditemui pemberita di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7.40 malam tadi.

Presiden Umno itu dipanggil bagi membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan di Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya sebelum ini.

“Saya memberi keterangan selama 4 hari. Insyallah Allah merupakan hari terakhir untuk saya beri keterangan berdasarkan maklumat yang sungguh terperinci bagi jelaskan 7 perkara yang jadi bahan untuk siasatan,” katanya.

“Saya memberi kerjasama sepenuhnya dan tiada apa yang disembunyikan. Saya harap ini akan menjelaskan kekeliruan di kalangan masyarakat di luar sana dan mana-mana pihak dipanggil perlulah beri kerjasama sepenuhnya pada pegawai SPRM.”

Zahid tiba di SPRM pada 9.18 pagi tadi. Selepas 3 jam disoal dia keluar pada 12.25 tengah hari untuk solat Jumaat dan kembali untuk disoal pada 3.00 petang tadi.

Ini adalah kali ke-5 Zahid memberi keterangan berhubung dakwaan RM800,000 milik yayasan yang dipengerusikannya digunakan untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Sebelum ini Zahid dilapor berkata pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan dan dia sudah membayar semua wang yayasan yang digunakan untuk membayar bil kad kredit.