Zahid tiba untuk disoal SPRM kali ke-5

Zahid dipanggil buat kali ke-5 hari ini dipercayai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

PUTRAJAYA: Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 9.18 pagi tadi selepas 2 hari disoal siasat agensi anti-rasuah itu lebih 8 jam.

Zahid dipanggil buat kali ke-5 hari ini dipercayai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Semalam, Zahid tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.16 pagi dan keluar dari pintu utama diiringi beberapa pegawai SPRM pada 6.00 petang.

Rabu lalu, Zahid tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9.20 pagi bersama anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah dan abang tiri beliau, Datuk Seri Mohammad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Zahid keluar dari pintu utama diiringi beberapa pegawai SPRM pada 5.30 petang.

Ini adalah kali ke-5 Zahid memberi keterangan berhubung dakwaan wang RM800,000 milik yayasan yang dipengerusikannya digunakan untuk membayar bil kad kredit beliau dan isteri.

Sebelum ini Zahid dilaporan berkata pegawainya tersilap menggunakan cek yayasan dan beliau sudah membayar semua wang yayasan yang digunakan untuk membayar bil kad kredit tersebut.