Adakah anda mampu kotakan janji, penyokong tegar BN tanya Anwar

Anwar Ibrahim memeriksa proses pengundian di sebuah pusat mengundi di Port Dickson.

PORT DICKSON: Seorang penyokong tegar Umno di kerusi Dewan Undangan Negeri Chuah bersemuka dengan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari mengundi pilihan raya kecil Port Dickson.

Wanita itu bertanya kepada Anwar jika beliau mampu mengotakan semua janji yang diberikan sepanjang 2 minggu berkempen.

Beliau turut mempersoalkan Anwar kenapa tidak bertanding di kerusi Parlimen Pandan atau Permatang Pauh yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah.

“Apa motif beliau datang ke Negeri Sembilan kerana beliau ialah orang luar? Beliau berasal dari Pulau Pinang.

“Saya ingatkan pertukaran kerajaan sudah berakhir selepas pilihan raya umum baru-baru ini. Kenapa perlu mengadakan pilihan raya kecil ini?

“Saya hanya nak tahu jika beliau akan kotakan semua janjinya,” kata pengundi itu yang enggan mendedahkan namanya.

Ditanya apa respons Anwar, pengundi itu berkata: “Beliau kata akan kotakan apa dijanjikannya.”

Wanita itu berkata, beliau keliru dan kecewa dengan PRK ini.

“Sejak kecil lagi, saya dan adik-beradik diberitahu untuk undi Umno. Kami menyokongnya selama beberapa generasi.

“Tetapi, tiba-tiba kerajaan bukan lagi Barisan Nasional.”

Pengundi di Port Dickson memilih ahli Parlimen baru mereka hari ini. Anwar berdepan saingan 6 pencabar di kerusi Parlimen itu.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.