Anwar angkat sumpah ahli Parlimen pada Isnin

Bernama pic.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff mengesahkan perkara itu kepada Bernama malam ini.

“Ya, sudah dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat (AUM) pagi Isnin ini. Boleh disemak melalui Portal Parlimen,” katanya menerusi sistem pesanan WhatsApp.

Menurut AUM, Isnin ini akan berlangsung mesyuarat ke-2 penggal pertama Parlimen ke-14.

Pada PRK itu, Anwar, 71, memperoleh 31,016 undi menewaskan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan 5 calon bebas – bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82 undi); bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad (4,230 undi); Lau Seck Yan (214 undi); personaliti media sosial Stevie Chan (337 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).