Anwar dahului dengan majoriti lebih besar

Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam misi kembali ke Parlimen, mendahului 6 pencabarnya dengan selesa dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Keputusan tidak rasmi menyaksikan presiden PKR itu mendapat kira-kira 70% daripada keseluruhan undi yang dikira setakat 7.30 malam tadi.

Anwar berdepan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan 5 calon bebas, iaitu bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial, Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Chan dalam satu kenyataan menerima kekalahannya dan mengucapkan tahniah kepada Anwar.

Tetapi, katanya, beliau bertanding di Port Dickson kerana PRK itu “tidak beretika, tidak perlu dan tidak kena pada masanya”.

“Saya harap beliau (Anwar) mendukung prinsip agenda Harapan dan meneruskan harapan kami untuk Malaysia Baru,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Danyal memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 17,710 undi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional dan calon PAS, Mahfuz Roslan.

Anwar dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengatasi jumlah majoriti yang diperolehi Danyal, walaupun peratusan keluar mengundi lebih rendah, iaitu hanya 58.3% ketika pusat mengundi ditutup pada 5.30 petang tadi.

Ratusan penyokong Pakatan Harapan dan PKR kini berkumpul di luar bangunan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang sedang menjalankan pengiraan undi.

Ini kali ke-2 Anwar membuat kemunculan dalam arena politik. Pada 2008, beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang dan kembali ke Dewan Rakyat sebagai ketua pembangkang susulan prestasi pembangkang dalam pilihan raya umum pada Mac tahun itu.