Anwar menang besar di PD, undi Saiful paling sedikit

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya kembali ke Parlimen, selepas menewaskan 6 pencabarnya dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan presiden PKR itu mendapat 31,016 undi berbanding pencabar terdekatnya daripada PAS, Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan bekas menteri besar Negeri Sembilan yang bertanding atas tiket bebas, Tan Sri Isa Samad (4,230 undi).

Empat calon bebas lain pula mendapat tidak lebih 350 undi. Mereka adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82 undi), pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen (154 undi), bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan (214 undi) dan personaliti media sosial, Stevie Chan Ken Leong (337 undi).

Semua calon bebas itu hilang deposit mereka.

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat Isnin ini dan selangkah lagi menuju matlamat menjadi perdana menteri ke-8 yang dipersetujui 4 parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sebanyak 58.25% pengundi keluar mengundi sehingga semua pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi, peratusan itu bagimanapun lebih rendah daripada jangkaan SPR sebanyak 70%.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,770 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan lain-lain kaum (2%).

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, kembali ke Dewan Rakyat.

Bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan 36,225 undi atau majoriti 17,710 undi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

PRK Port Dickson adalah yang ke-4 selepas PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong yang semuanya kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor, susulan pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ini kali pertama Anwar bertanding di kerusi Parlimen di luar kampung halamannya, Pulau Pinang, di mana beliau pernah mewakili Permatang Pauh sebanyak 2 kali.

Anwar yang dihukum penjara 5 tahun atas kesalahan meliwat Saiful pada Jun 2008, dibebaskan 16 Mei lalu dan mendapat pengampunan diraja selepas kemenangan PH pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

KEPUTUSAN PILIHAN RAYA KECIL PORT DICKSON
1 Anwar Ibrahim Pakatan Harapan 31,016
2 Mohd Nazari Mokhtar PAS 7,456
3 Isa Samad Bebas 4,230
4 Stevie Chan Bebas 337
5 Lau Seck Yan Bebas 214
6 Kan Chee Yuen Bebas 154
7 Mohd Saiful Bukhari Azlan Bebas 82