Grab kepunyaan Rosmah, fitnah licik PH, kata Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tuduhan kononnya isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pemilik Grab atau Uber adalah fitnah Pakatan Harapan (PH) untuk menambahkan lagi kemarahan orang ramai terhadap beliau dan isteri.

“Sebelum pilihan raya umum ke-14, salah satu fitnah yang disebar oleh mereka yang menyokong PH kononnya isteri saya, Rosmah adalah pemilik Uber dan Grab.

“Jika benar isteri saya pemilik Grab, kenapa PH mahu menggunakan Grab?,” katanya pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Kewangan yang dilaporkan berhasrat perkhidmatan menggantikan bas perantara untuk pengguna MRT dan LRT kepada perkhidmatan e-hailing, Grab.

Mengulas lanjut, Naiib berkata terdapat beberapa pemandu teksi yang bertemu dengannya, memohon maaf kerana terpedaya dengan hasutan fitnah PH sebelum pilihan raya lalu.

“Selepas pilihan raya umum ke-14, saya sempat bertemu dengan beberapa pemandu teksi. Ada antara mereka meminta maaf kepada saya kerana terperdaya dengan fitnah itu kerana melihat Uber dan Grab sebagai saingan kepada sumber rezeki mereka.

“Mereka beritahu ramai pemandu teksi yakin bahawa kerajaan PH akan mengisytiharkan perkhidmatan Uber dan Grab haram di Malaysia jika mereka menang. Sebab itu, mereka turut membantu berkempen bagi PH dan mencemuh kerajaan BN setiap kali membawa penumpang,” jelasnya.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu mengakui sukar untuk mengharamkan perkhidmatan Uber dan Grab kerana ia wujud hanya menerusi satu aplikasi di telefon pintar.

Beliau berkata, pada waktu itu kerajaan berpandangan perlu mengimbangi antara keperluan rakyat yang mendapat manfaat daripada khidmat “e-hailing” dengan keperluan industri teksi.

“Saya akui dapat lihat ramai rakyat Malaysia senang dengan khidmat e-hailing pada masa itu. Ramai pemandu Malaysia turut memperoleh pendapatan tambahan apabila menjadi pemandu Grab atau Uber,” katanya.

“Untuk itu, saya rasakan perlu ada kesinambungan persaingan bagi semua perkhidmatan. Rancangan kerajaan ialah mengawal selia Uber dan Grab sambil memastikan lebih banyak bantuan kepada pemandu teksi,” katanya.

Najib berkata, selain bantuan kewangan, kerajaan pada masa itu berusaha supaya pemandu teksi mendapat permit persendirian, bukan lagi menyewa permit daripada syarikat.

“Kerajaan BN semasa saya perdana menteri dulu berusaha supaya pemandu teksi mendapat permit persendirian, bukan lagi menyewa permit daripada syarikat kroni yang menerima beribu permit hasil legasi sebelum pentadbiran saya,” katanya.

Najib berkata fitnah itu timbul mungkin kerana beliau pernah mencadangkan supaya syarikat pelaburan kerajaan Khazanah Nasional melabur dalam Grab memandangkan potensinya.

Katanya, walaupun cadangan itu tidak diterima, beliau tidak mendesaknya kerana menghormati pendirian syarikat berkenaan, namun sekiranya cadangan itu diterima ia sudah tentu menguntungkan Khazanah kerana nilai syarikat Grab kini ialah AS$11 bilion.

“Sudah tentu Khazanah kesal sekarang kerana syarikat Grab kini bernilai AS$11 bilion (RM46 bilion),” katanya.