KBS sahut cabaran PM, tingkat mutu bola sepak negara

Perdana menteri berharap mutu bola sepak negara akan kembali bersinar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau menyahut cabaran perdana menteri untuk melihat pasukan bola sepak negara kembali gah di persada antarabangsa.

“Sudah tentu ia satu cabaran dan saya sahut cabaran tersebut,” katanya pada satu sidang media pada sambutan Hari Sukan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perkembangan pasukan bola sepak tanah air.

Dr Mahathir berkata, Malaysia dahulunya mempunyai kelengkapan lengkap berbanding negara lain dalam sukan tersebut, namun tidak mampu bergerak maju.

“Dahulu, Malaysia terkenal dengan kecekapan kita dalam ‘Merdeka Cup’. Orang lain tidak pandai main bola sepak. Orang Korea pun tidak pandai main bola, kita saja yang pandai.

“Kita main bola sepak pakai but, mereka main bola sepak berkaki ayam, tetapi sekarang yang berkaki ayam itu yang menjadi jaguh dalam Piala Dunia,” katanya.

Perdana menteri berharap agar mutu bola sepak negara akan kembali bersinar.

“Saya harap kita semua kuatkan semangat kita, usaha dan kejar pingat emas ini, saya yakin rakyat Malaysia semua boleh,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Saddiq menyifatkan ulasan Dr Mahathir sebagai satu sikap prihatin seorang pemimpin terhadap perkembangan sukan tanah air.

“Ini membuktikan beliau prihatin terhadap perkembangan pasukan bola sepak negara dan kita mahukan perkara ini berterusan demi kebaikan sukan negara,” jelasnya.

Dr Mahathir bersama-sama isteri Tun Siti Hasmah Mohammad Ali hadir ke sambutan Hari Sukan Negara di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil bagi merasmikan sambutan tahunan tersebut.

Menurut Syed Saddiq, sebanyak satu juta peserta terlibat dalam sambutan itu serentak di seluruh negara hari ini.