Kenapa hantu selalunya wanita?

Adakah wanita sentiasa perlu mendapatkan pembelaan hanya selepas matinya?

PETALING JAYA: Sudah bertahun lamanya, filem seram di negara ini menggunakan watak pontianak sebagai makhluk ghaib yang paling ditakuti. Pontianak juga diiktiraf sebagai hantu perempuan menerusi kisah mistik masyarakat Melayu.

Kajian pada tahun 2016 oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk “Dari Filem Seram Antarabangsa ke Filem Seram Tempatan: Satu pemerhatian identiti dan peranan sinematik rakyat Malaysia” menyebut, walaupun terpisah dari sudut geografi, Malaysia, Singapura dan Indonesia mempunyai watak pontianak sebagai hantu perempuan yang menjerit dengan nada yang tinggi, rambut panjang mengurai, miliki gigi taring yang panjang dan hanya boleh dikawal dengan menarik kuku atau paku di belakang lehernya.

Namun begitu, wujud persoalan, mengapa setiap kali filem seram diterbitkan, watak hantu itu mesti seorang perempuan? Adakah ia satu fenomena yang normal dalam industri perfileman atau terkandung sesuatu ideologi dalam karya berkenaan?

Pensyarah filem dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Adrian Lee Yuen Beng apabila dihubungi FMT, memberitahu perkara itu berlaku ekoran wujudnya unsur patriaki dalam karya seram tempatan.

“Semestinya wujud diskusi mengenai patriaki tentang perkara ini. Wanita tidak berpuas hati dengan dominasi lelaki ketika hayatnya, Jadi, apa yang berlaku?

“Perempuan itu mesti mati atau dimusnahkan supaya dominasi itu dapat dihapuskan,” katanya.

Menurut kajian pada 2006 oleh pengkaji komunikasi, Mahyudin Ahmad menyatakan unsur patriaki kerap menjadi fokus utama sesebuah filem.

“Ia menggambarkan secara umum idea dan nilai berkaitan lelaki dan wanita dalam masyarakat yang telah distereotaipkan dan perlu diterima umum.

“Golongan wanita digambarkan dengan kepelbagaian watak dan sifat yang negatif manakala watak lelaki pula kebanyakan dipamerkan mempunyai sifat positif,” katanya dalam kajian bertajuk “Filem Box Office dan Ideologi: Satu kajian terhadap filem-filem terpilih di Malaysia”.

Menurut Lee, wanita sering menjadi sasaran utama watak hantu kerana wanita dilihat tidak suci.

“Jika dilihat dari sudut analisis psikologi, wanita selalu dilihat sebagai kotor, tidak bersih dan tidak suci.

“Kenapa? Kerana kitaran haid mereka. Oleh itu, wanita dilihat sebagai seseorang yang mengancam lelaki, kotor dan berbahaya,” jelasnya.

Dengan menggunakan filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Suhaimi Baba sebagai rujukan, Lee berkata watak pontianak (Maryam) lakonan Maya Karin adalah satu watak yang menggambarkan kesakitan dan kesengsaraan sebagai wanita.

“Maryam seorang yang cantik, penari gamelan yang tersohor dibunuh ketika mengandung disebabkan beliau bertindak menolak pinangan seorang lelaki kaya, Marsani.

“Selepas kematiannya, Maryam kembali menghantui hidup Marsani untuk membalas dendam. Watak Maria, anak Marsani sering dimasuki roh Maryam ketika dia sedang menari gamelan.

“Kemuncaknya, bagi mengembalikan keadilan terhadap kematiannya, Maryam menuntut kemaafan daripada Marsani,” katanya.

Namun begitu, bagi memastikan tiada lagi unsur patriaki berlaku, Marsani terpaksa melutut di hadapan Maryam. Sesudah itu, roh dan jelmaan Pontianak Harum Sundal Malam kembali tenang.

Soalannya, adakah wanita sentiasa perlu mendapatkan pembelaan hanya selepas matinya?