Kit Siang cadang program pengampunan dengan syarat bagi ‘kleptocrat’

PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencadangkan “program pengampunan” dengan “prasyarat ketat” bagi mereka yang bertanggungjawab menjadikan Malaysia “kleptokrasi global”.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, walaupun pesalah utama dan pemimpin di peringkat ke-2 dan ke-3 perlu didakwa, program pengampunan mungkin “langkah bijak” untuk membolehkan jentera kerajaan serta negara menumpukan pembentukan “Malaysia Baru”.

Katanya, laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) juga perlu dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Pembaharuan Institusi ditubuhkan untuk melaksanakan cadangan majlis itu.

Gesaan Lim itu menyusul selepas Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin dan pemimpin Umno mahu cadangan CEP didedahkan kepada orang ramai.

CEP ditubuhkan 12 Mei lalu, selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14, menemubual lebih 300 individu daripada sektor awam dan swasta, juga kumpulan sivil, aktivis dan ahli akademik.

Ia sudah menyerahkan laporannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kandungan dokumen itu masih tidak didedahkan.

Lim berkata, siri temubual CEP itu mendedahkan “budaya tidak menghiraukan” amalan rasuah.

“Masalah yang digambarkan Daim adalah serius dan tahap keseriusan itu perlu didedahkan kepada orang ramai supaya rakyat Malaysia boleh memahami kenapa negara menghadapi ‘kesukaran’ kewangan.”

Katanya, ia juga penting kerana rakyat Malaysia perlu memahami kenapa mereka harus bersedia untuk berjimat cermat dan berkorban demi “mengatasi” krisis negara yang ditinggalkan “pentadbiran kleptokratik” terdahulu.

Mengenai isu pelantikan hakim, Lim berkata, cadangan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai Pembaharuan Institusi juga boleh mengkaji sistem baru untuk pelantikan hakim bagi memastikan tiada pengasingan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan kehakiman.

Rabu lalu, Dr Mahathir mengumumkan calon hakim akan diteliti dan disaring Parlimen sebelum nama mereka dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan memberi amaran cara itu bertentangan doktrin pengasingan kuasa.

Beliau sebaliknya mencadangkan status Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dinaikkan menjadi badan berperlembagaan dalam pelantikan dan kenaikan pangkat hakim ke mahkamah atasan.