Kurangkan harga tol, buat perjanjian telus, desak pakar ekonomi

Yeah berkata kerajaan perlu faham bahawa lebih ramai rakyat tinggal jauh dari bandar untuk mengelak kos sara hidup yang tinggi.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mahu kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) mengurangkan kadar tol selepas gagal menepati janji menghapuskan kutipan tol di lebuh raya.

Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata kerajaan perlu mengurangkan harga tol mengikut kemampuan Putrajaya dan pada sama sebahagian daripada beban itu dikongsi bersama rakyat.

“Ini berdasarkan prinsip pengguna membayar.

“Penurunan kadar tol ini boleh dibuat hingga ke tahap tidak menjejaskan defisit negara mahupun membebankan rakyat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan adalah mustahil bagi negara untuk mempunyai lebih raya tanpa kutipan tol.

Dr Mahathir juga mendedahkan beliau sendiri tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH.

“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar.”

Yeah berkata kerajaan perlu faham bahawa lebih ramai rakyat tinggal jauh dari bandar untuk mengelak kos sara hidup yang tinggi.

“Kita tahu rakyat lebih banyak menggunakan tol memandangkan mereka tinggal jauh untuk mengelak daripada kos sara hidup tinggi di bandar.”

Katanya pengurangan kadar tol itu perlu dibuat memandangkan tol dan perumahan adalah 2 perbelanjaan utama bagi kumpulan ini.

Yeah juga berharap kerajaan akan berunding semula dengan syarikat konsesi lebuh raya untuk menghapuskan kenaikan tol seperti yang dijanjikan kepada mereka setiap 3 hingga 5 tahun.

Beliau juga meminta kerajaan supaya membuat perjanjian tol secara terbuka memandangkan rakyat mempunyai persepsi sebilangan syarikat konsesi sedang membuat “keuntungan besar” dalam perbelanjaan mereka.

Yeah berkata manifesto yang dibuat oleh parti politik selepas ini akan lebih realitik dalam menguruskan negara.

Kadar tol boleh dikurangkan dalam satu atau 2 tahun

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa berkata kerajaan tidak boleh menghapuskan tol kerana situasi semasa kewangan negara.

“Mengurangkan atau menghapuskan tol akan menyebabkan liabiliti besar ke atas kerajaan kerana perjanjian berat sebelah dengan syarikat konsesi,” katanya.

Bagimanapun beliau berkata pengurangan kadar tol boleh dilakukan dalam tempoh satu atau 2 tahun lagi.

“Perjanjian itu harus dirundingkan semula atau jika ia masih berkeras, ia perlu dibatalkan dengan kuasa Parlimen.”

Katanya, pilihan lain termasuk membeli konsesi lama seperti Lebuh raya Utara-Selatan di mana pelabur telah menanggung kos mereka dengan keuntungan berganda beberapa tahun lalu.

Salah satu cara untuk berunding semula dengan syarikat konsesi adalah dengan meneliti fakta untuk setiap konsesi lebuh raya, pulangan yang munasabah dan tempoh perjanjian mereka.

“Tol untuk lebuh raya baru mesti dirunding dengan betul untuk mengelakkan ia daripada dieksploitasi oleh sebelah pihak,” tambahnya.