Najib sambut baik keputusan polis Sentul tak buka semula kes bunuh

PETALING JAYA: Persoalan timbul berhubung status laporan polis dibuat atas permintaan Datuk Seri Najib Razak, selepas bekas perdana menteri itu mengalu-alukan dakwaan yang polis tidak akan membuka semula siasatan ke atas beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini dipetik Bernama sebagai berkata, siasatan akan dijalankan mengikut prosedur biasa.

Kenyataan itu bertentangan dengan Ketua Polis Daerah Sentul, S Shanmugamoorthy yang dipetik Malaysiakini sebagai berkata, tiada tindakan susulan akan diambil kerana tiada apa yang perlu disiasat berdasarkan laporan dibuat pembantu peribadi Najib, semalam.

“Polis sudah mengklasifikasikan laporan itu sebagai tindakan sivil dan merujuknya kepada majistret,” katanya dipetik portal berita itu.

Dalam komen yang dipercayai ialah responsnya terhadap laporan itu, Najib berkata, orang ramai tidak patut mengaitkannya dengan beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi itu lagi.

“Memang betul pun, kerana hakikatnya saya tidak terlibat dalam semua kes ini yang sudah disiasat secara mendalam dan lengkap serta telah melalui proses kehakiman selama bertahun-tahun,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Laporan polis itu dibuat pembantu peribadi Najib, susulan gesaan penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya siasatan baru dibuka ke atas kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais, pengasas Ambank Hussain Najadi dan pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock.

Kematian mereka sering dikaitkan dengan skandal dalam kerajaan Najib, termasuk isu 1MDB dan pembelian kontroversi 2 kapal selam Scorpene dari Perancis kira-kira sedekad lalu.