Penyokong tubuh tabung solidariti bantu Najib, Rosmah

PETALING JAYA: Penyokong Datuk Seri Najib Razak menubuhkan sebuah tabung untuk membantu keluarga bekas perdana menteri itu membayar kos guaman dan ikat jamin dalam kes mereka di mahkamah.

Anak perempuannya, Nooryana Najwa menerusi Facebooknya memuat naik surat sekretariat Tabung Solidariti Datuk Seri Najib dan Keluarga 2.0 mengenai cara untuk orang ramai menyalurkan sumbangan mereka.

Ketua sekretariat tabung itu, Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, tabung itu juga akan digunakan untuk membela aktivis dan pengkritik kerajaan yang didakwanya ditindas kerajaan.

“Kami dalam usaha untuk membantu dengan mewujudkan Tabung Solidariti 2.0 DSN untuk membantu kewangan bagi meringankan beban Datuk Seri Najib & keluarga bagi perbelanjaan kos guaman dan ikat jamin yang telah mencecah jutaan ringgit (anggaran RM7 juta).

“Harap kita dapat menunjukkan solidariti kita membantu bekas perdana menteri yang telah banyak berjasa kepada negara,” kata Razlan.

Najib berdepan 32 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya daripada SRC International Sdn Bhd.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula didakwa dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.1 juta.

Sementara itu, Najib mengakui pembangkang kini mengalami krisis kewangan yang menjadi punca tabung itu ditubuhkan.

“Setakat ini, kami memperoleh pertolongan dari sahabat terdekat dan saudara-mara yang tampil ke depan untuk menolong, tetapi jika boleh, kami tidak mahu membebankan mereka lagi,” tulisnya dalam Facebook hari ini.