Perdana Menteri rasmi Hari Sukan Negara

Dr Mahathir berkata, sukan dan senaman harus diamalkan bagi menerapkan semangat ‘Malaysia Boleh’.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (KSN) disaksikan kira-kira seramai 40 ribu peserta dan pengunjung.

Beliau hadir ke Kompleks Sukan Kuala Lumpur berpakaian sukan bewarna hitam diiringi isteri Tun Siti Hasmah Mohammad Ali.

Beliau mengingatkan para peserta yang hadir supaya sentiada bersenam bagi memastikan otot mereka berfungsi dalam keadaan baik.

“Kenalah selalu bersenam, otot-otot perlu dijaga. Kena selalu gunakan, kalau tidak kesihatan merosot.

“Macam tu juga otak, kalau tak pakai, lama-lama merosot,” katanya ketika memberi ucapan perasmian di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dr Mahathir berkata, sukan dan senaman harus diamalkan bagi menerapkan semangat Malaysia Boleh.

“Bila badan sihat, otot kuat, barulah boleh daki Gunung Himalaya dan sebagainya, barulah Malaysia Boleh.

“Saya pun dah lama tak bersenam, tapi jangan tiru macam saya,” katanya diikuti gelak tawa pengunjung dan peserta.