Polis tahan 3 banduan larikan diri dari mahkamah

Gambar Reuters.

BANGKOK: Tiga banduan yang melarikan diri dari sebuah mahkamah wilayah di selatan Thailand 48 jam lalu, berjaya diberkas semula pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Koreksional Thailand, Naras Savestanan dalam kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditangkap semula kira-kira 6.20 pagi tadi (waktu tempatan) berhampiran sebuah bukit di Tambon Taco, daerah Tungtago, di wilayah Chumphon.

Ketua pengarah itu akan ke Chumphon lewat hari ini untuk menyoal ketiga-tiga lelaki itu.

Dalam insiden nekad yang dirakamkan kamera keselamatan berhampiran, 3 banduan itu merempuh keluar dari Kompleks Mahkamah Lang Suan selepas mencuri sebuah trak penjara yang digunakan untuk membawa mereka ke mahkamah.

Mereka antara sekumpulan 6 banduan yang melarikan diri dari mahkamah, bagaimanapun 3 daripada mereka yang cuba lolos dengan berjalan kaki, ditahan semula hampir serta-merta oleh pengawal bertugas.